KL Kota Buku Dunia 2020: YWP perlu kerjasama badan korporat sokong pelaksanaan MINTS

KL Kota Buku Dunia 2020: YWP perlu kerjasama badan korporat sokong pelaksanaan MINTS
Wakil YWP dan wakil UNESCO bergambar kenangan bersama komuniti PPR Hiliran Ampang yang mengunakan kemudahan disediakan untuk mereka di MINTS.-Foto YWP.

 

Zaizalnizam Zainun

Bagi merealisasikan hasrat Kementerian Wilayah Persekutuan untuk meluaskan Mini Terminal Sejahtera (MINTS) meliputi Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA) di 11 Parlimen memerlukan kerjasama daripada badan korporat dan ahli perniagaan untuk bersama menyumbang ke arah Kuala Lumpur sebagai Kota Buku Dunia 2020.

MINTS adalah satu program usahasama antara Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sejak tahun 2013 bertujuan menyediakan kemudahan aktiviti pembacaan, mengulangkaji dan pembelajaran kepada penduduk semua peringkat umur. Selain itu MINTS juga menjadi platform kepada Persatuan Penduduk untuk menjalankan aktiviti kemasyarakatan.

Ketua Pegawai Eksekutif YWP Zaizalnizam Zainun, mengalu-alukan kerjasama erat badan korporat yang diyakini akan dapat menyokong pelaksanaan MINTS secara lebih bersepadu.

“Kita sangat mengalakkan mana-mana badan korporat, ahli perniagaan menyumbang dana atau mana-mana NGO untuk mengendalikan program di MINTS khusus untuk komuniti setempat di PPR secara aktif dan berkala.

“Idea penubuhan MINTS ini dimulakan di PPR dan PA kerana objektif MINTS adalah menyediakan kemudahan pembelajaran yang kondusif dan bahan akses bahan pendidikan kepada golongan berpendapatan rendah.

“Di MINTS kita gabungkan konsepnya sebagai pusat pembelajaran dan pusat komuniti. Sehubungan itu, program-program dua hala membabitkan bidang pendidikan dan fasiliti komuniti yang lebih efisien dialu-alukan bagi memenuhi keperluan semasa semua peringkat umur penduduk PPR dan PPA”, ujarnya ketika ditemui Malaysia Dateline baru-baru ini.

Zaizalnizam Zainun  mengiringi wakil dari UNESCO  Jan Denison melihat operasi Mini Terminal Sejahtera di  PPR Hiliran Ampang  pada November 2018 lalu. -Foto YWP.

Mengulas komitmen YWP terhadap deklarasi UNESCO yang mengiktiraf Kuala Lumpur sebagai Ibu Kota Buku Dunia bagi tahun 2020, beliau berkata, YWP dan DBKL perlu memastikan 8 MINTS sedia ada dan 7 lagi yang bakal dibina, akan dipenuhi kemudahan buku-buku sebagai bahan rujukan komuniti dan panduan pembelajaran dengan konsep yang lebih tersusun.

“Buat masa sekarang, YWP komited menampung penyelenggaraan dan kos pentadbiran MINTS bagi 8 buah MINTS sediada iaitu di kawasan Titiwangsa, Seputih, Lembah Pantai dan Bandar Tun Razak.

Perkhidmatan MINTS pada masa ini hanya ditumpukan kepada kanak-kanak dan penghuni di PPR Kuala Lumpur berasaskan penilaian bahawa mereka tergolong di dalam kategori miskin bandar dan memerlukan bantuan.

Statistik dari DBKL juga menunjukkan bahawa terdapat 61,713 unit PPR dan PA di Kuala Lumpur yang meliputi 65 kawasan perumahan.

Mengulas mengenai pengumuman Menteri Wilayah yang juga Pengerusi YWP Khalid Samad pada Disember tahun lepas, memperuntukan RM350,000 bagi tambahan kepada ‘Satu Parlimen,Satu MINTS’ meliputi 65 kawasan PPR agak sukar sebelum tahun 2020.

“Oleh itu, YWP akan pastikan setiap Parlimen akan ada sekurang-kurangnya sebuah MINTS, dalam tempoh 2 tahun ini. YWP dan DBKL sedang membuat pemilihan PPR bagi keperluan setempat yang benar-benar memerlukan MINTS”.

“Kami sedar penglibatan YWP dalam menjayakan status Kuala Lumpur sebagai Ibu Kota Buku pada tahun 2020 amatlah besar.

“Oleh itu, YWP mengharapkan dan mengalu-alukan kerjasama syarikat-syarikat korporat dan agensi kerajaan, agar kos pengurusan MINTS dapat dikurangkan dan impak yang lebih bermakna dapat dihasilkan,” kata Zaizalnizam.