Malaysia Dateline

KL2017 bola

KL2017: Malaysia berpeluang ke separuh akhir

 

Malaysia menghidupkan peluang ke separuh akhir selepas bangkit daripada ketinggalan satu gol dan menewaskan Singapura 2-1 dalam aksi kedua Kumpulan A saingan bola sepak lelaki Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) semalam.

Pemain gantian, N. Thanabalan muncul wira skuad negara apabila menjaringkan gol kemenangan Malaysia pada minit ke-74 sekali gus menceriakan kira-kira 32,000 penyokong yang hadir di Stadium Shah Alam, di sini.

Singapura yang tewas 0-2 kepada Myanmar dalam aksi pembukaan Isnin lepas bagaimanapun terlebih dahulu di hadapan pada minit ke-38 menerusi jaringan memukau Muhammad Amiruldin Muhammad Nodin dari luar kotak penalti menewaskan penjaga gol negara Muhammad Haziq Nadzli.

Skuad negara yang dibimbing Datuk Ong Kim Swee hampir menyamakan kedudukan di masa kecederaan separuh masa pertama, namun sepakan percuma Muhammad Safawi Rasid sekadar menggegar palang gol untuk menjadikan kedudukan 0-1 kekal sehingga rehat.

{loadposition myposition} Bersambung babak kedua, kemasukan Muhamad Nor Azam Abdul Azih dan N. Thanabalan ternyata memberi nafas baharu kepada jentera tengah negara yang menjelmakan corak permainan lebih agresif bagi memburu gol penyamaan.

Malaysia akhirnya berjaya menarik nafas lega pada minit ke-68 apabila Nor Azam menjaringkan gol pertama negara selepas memperdaya dua pertahanan Singapura sebelum melepaskan rembatan deras untuk mengikat kedudukan 1-1.

Berselang enam minit kemudian, asakan berterusan skuad negara berjaya membuahkan hasil apabila Thanabalan bijak menghidu kesilapan pertahanan Singapura untuk menolak masuk bola ke dalam gawang untuk memastikan Malaysia mengutip tiga mata penuh.

Dengan kemenangan malam ini, Malaysia kini menduduki tangga kedua berkongsi enam mata bersama Myanmar yang turut mencatat kemenangan 3-1 ke atas Laos dalam satu lagi aksi kumpulan yang berlangsung di Stadium Universiti Teknologi Mara (UiTM), pada Selasa. Selepas ini, Malaysia akan bertemu Myanmar pada 21 Ogos sebelum melengkapkan aksi kumpulan menentang Laos pada 23 Ogos.