Malaysia Dateline

KL2017 Chinlone

KL2017:Tuaian emas Malaysia bermula dengan Chinlone

Misi tuan rumah Malaysia untuk merampas gelaran juara keseluruhan Sukan SEA ke-29 (KL2017) bermula awal apabila misi tuai emas pertama muncul dalam acara chinlone berangkai dan pingat perak menerusi pemanah negara, Mohd Juwaidi Mazuki.

Malaysia turut mengutip dua gangsa selepas pemanah wanita Fatin Nurfatehah Mat Salleh gagal mempertahkan pingat emas dalam acara compound individu serta gangsa daripada acara berpasukan chinlone ‘same-stroke’.

Lagu ‘Negaraku’ bergema di Stadium Tertutup Titiwangsa ketika ‘Jalur Gemilang’ dinaikkan selepas Malaysia mengalahkan Filipina dengan mata 391-271 dalam acara chinlone berangkai, sebuah sukan tradisi di Myanmar yang diperkenalkan ketika negara itu menjadi tuan rumah temasya berkenaan pada 2013.

Chinlone memerluklan kemahiran pemaIn untuk menimbang bola takraw dalam bulatan mengikut disiplin berdasarkan kategori.

 Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin sendiri turun ke gelanggang untuk menyampaikan pingat emas kepada ketua pasukan, Muhammad Faiz Roslan dan barisan pemain – Mohammad Kamal Aizat Azmi, Ab Muhaimi Che Bongsu, Putera Aidil Israfi Kamaruzaman, Muhamad Asyraaf Abd Hadi, Izuan Afendi Azlan, Mohd Nazuha Mohd Nadzli dan Iskandar Zulkarnain Salim.

Berbaki tiga hari untuk upcara pembukaan rasmi Sukan KL2017, Malaysia kini menghuni tangga kedua dalam senarai pungutan pingat di belakang Indonersia yang memperoleh dua emas dalam acara memanah compound lelaki dan wanita.

Mohamed Juwaidi, yang menghuni ranking ke-43 dunia dan penyandang gangsa pada edisi 2015 lepas, gagal mengekalkan tumpuan pada pertengahan saingan dan membuka peluang untuk pemanah Indonesia, Prima Wisnu Wardhana bangkit untuk merapatkan tiga mata defisit sebelum melakukan panahan berbisa untuk menggondol emas dengan mata 145-144.

Nasib ketinggalan satu mata turut menghantui pemanah negara, Zulfadhil Ruslanapabila tewas 145-144 kepada pemanah Filipina, Paul Marton Dela Cruz dalam saingan merebut pingat gangsa.

Fatin pemenang tiga emas di temasya sama dua tahu lalu memulakan kempen dengan memecahkan rekod kejohanan dan rekod kebangsaan dengan catatan 696 mata dalam pusingan kelayakan. Beliau menerima ‘bye’ untuk mara ke peringkat suku akhir dan mengalahkan rakan sepasukan , Saritha Cham Nong untuk mara ke separuh akhir sebelum tunduk 142-145 kepada pemanah Vietnam, Chau Kieu Oanh.

“Saya ingin memohon maaf kepada rakyat Malaysia kerana tidak dapat mempertahankan pingat emas. Saya akan tebus kekecewaan ini dalam acara berpasukan dan berpasukan campuran bersama Juwaidi,”kata atlet berusia 26 tahun itu.

Dalam acara pusingan awal bola jaring, Malaysia melakarkan kemenangan ketiga berturut-turut selepas menundukkan juara bertahan Singapura 50-37 untuk mara ke peringkat separuh akhir. Skuad negara, yang mengutip pingat perak pada edisi 2015, merupakan pesaing kuat untuk emas selepas muncul juara Asia tahun lalu.

KL2017 memanah 2