Malaysia Dateline

KLCCP ubah ruang Parkson kepada outlet lebih kecil

KLCC Property Holdings Bhd akan mengubah ruang berkeluasan 126,000 kaki persegi di Suria KLCC yang menempatkan Parkson kepada outlet runcit serta makanan dan minuman.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan Datuk Hashim Wahir, ia bagi membolehkan lebih banyak pendapatan sewa mampu dijana menerusi pembaharuan itu.

“Pada kebiasaannya, ruang yang luas disewakan pada kadar rendah. Sebagai pengurusan pusat membeli belah, Suria KLCC Sdn Bhd akan menerima sewa yang lebih tinggi daripada lot yang lebih kecil ini,” katanya selepas sesi bersama pelabur di Invest Malaysia 2019 di sini hari ini.

Hashim berkata penyewa baharu dijangka memulakan operasi menjelang akhir tahun ini  dan ketika ini Suria KLCC sedang berbincang dengan mereka.

“Kami berminat dengan idea mewujudkan kawasan beli belah jalanan menerusi pembangunan baharu ini. Lot runcit yang lebih kecil itu memberi kami peluang untuk menawarkan produk dan jenama baharu daripada syarikat pemula niaga,” katanya.

Beliau berkata perubahan itu juga akan membolehkan ruang makan di Suria KLCC diluaskan berikutan jumlah pengunjung yang meningkat ke pusat membeli belah itu.

Hashim berkata outlet makanan dan minuman akan dikekalkan iaitu kira-kira 20 peratus daripada 400 outlet yang disewakan dengan RM10 juta dilaburkan untuk menambah baik pusat membeli belah itu pada 2019.

Mengenai semakan kadar sewa, beliau berkata KLCCP mengunjurkan ia akan kekal pada kadar satu hingga dua peratus pada 2019, sama seperti pertumbuhan tahun lepas dengan tiga penyewa memperbaharui kontrak mereka tahun ini.

— BERNAMA