KLFA selesaikan tunggakan gaji minggu depan

KLFA selesaikan tunggakan gaji minggu depan

Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) memberi jaminan akan menyelesaikan tunggakan gaji pemainnya bagi bulan November dan Disember 2018 pada minggu depan.

Setiausaha Agung KLFA, Nokman Mustaffa berkata mereka sudah menyiapkan cek pembayaran kepada pemain yang terlibat, namun perlu mendapat pengesahan daripada Presiden KLFA, Datuk Seri Adnan Md Ikhsan yang kini berada di luar negara atas urusan rasmi.

“Saya minta pemain terlibat bersabar sebab Presiden kita sedang berada di luar negara dan memerlukan tandatangan beliau. Kita telah berusaha keras untuk mendapatkan dana kewangan bagi memastikan semua pemain menerima tunggakan gaji masing-masing sebelum bermulanya saingan Liga Super,” katanya ketika diminta mengulas isu berkenaan selepas menandatangani perjanjian setahun dengan agensi insurans, 139 Associates di sini, Khamis malam.

Bekas pemain Kuala Lumpur, Muhammad Syazwan Andik Mohd Ishak sebelum ini memutuskan untuk menamatkan kontrak bersama KLFA selepas majikannya itu dilaporkan gagal menyelesaikan tunggakan gajinya bagi bulan November dan Disember 2018.

Dalam pada itu, Nokman yakin kerjasama dengan 139 Associates dapat mengurangkan masalah kewangan yang sedang dihadapi oleh KLFA ketika ini.

“Saya harap kerjasama ini akan berterusan dan kita ucap terima kepada 139 Associates membantu kita dalam menyediakan insurans di bawah AXA Affin Life Insurance.

“Kita risau risiko pemain mendapat kecederaan agak tinggi, jadi dengan adanya insurans seperti ini, maknanya kuranglah kerisauan kita sekiranya ada pemain mengalami kecederaan serius,” katanya.

Pengasas 139 Associates, Adzlan Mohd Nerus pula menjelaskan menerusi kerjasama berkenaan, pemain Kuala Lumpur akan dilindungi dengan insurans sekiranya mereka mengalami kecederaan semasa berada di dalam dan di luar padang, dengan jumlah RM200,000 bagi satu musim.

“Kita melindungi semua kecederaan, contohnya sewaktu pemain menjalani latihan atau mengalami kecederaan ketika berada di rumah, kita akan lindungi mereka dengan insurans kita.

“Kita mempunyai kerjasama dengan pelbagai klinik panel di bawah skim insurans ini seperti Columbia Hospital dan KPJ Hospital,” kata Adzlan.

— BERNAMA