Malaysia Dateline

Klinik desa hangus terbakar di Telok Panglima Garang

Sebuah klinik desa musnah sama sekali dalam satu kebakaran di Kampung Sijangkang, Telok Panglima Garang, Kuala Langat, Selangor malam ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Telok Panglima Garang, Mohd Hafizie Hassan berkata pihaknya menerima panggilan kira-kira pukul 8.34 malam mengenai kebakaran itu sebelum mengerahkan anggota bomba ke kawasan kejadian.

“Tiada mangsa tercedera atau terkorban dalam kebakaran di klinik ini yang dikhususkan untuk ibu mengandung.

“Penghuni kuarters berdekatan tempat kejadian juga sempat keluar menyelamatkan diri,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau berkata hasil siasatan mendapati klinik itu tidak beroperasi ketika insiden berlaku.

Katanya, pihak forensik masih di tempat kejadian untuk mengumpul bukti bagi mengenal pasti punca kebakaran.

— BERNAMA