Malaysia Dateline

Klinik Kaunseling untuk rakyat

PETIKAN MEDIA: PARIT BUNTAR – Seorang wanita berusia 24 tahun parah selepas dipukul bapanya dipercayai menggunakan tukul pemecah dinding dalam kejadian di Parit Sungai Melan, Kuala Kurau di sini petang semalam. “Mangsa ketika itu sedang membaca al-Quran sebelum didatangi bapanya yang secara tiba-tiba bertindak memukul mangsa di beberapa bahagian kepala menggunakan tukul,” katanya ketika ditemui pemberita sebentar tadi. Tambah Omar Bakhtiar, akibatnya mangsa parah manakala bapanya yang menyesal dengan kejadian itu bertindak menghentakkan kepadanya ke dinding rumah dan turut cedera.

 

Bagaimana pendapat kita semua tatkala membaca berita ini? Simpati? Marah? Ya mungkin kita semua berkongsi perasaan yang sama. Ini adalah permintaan seorang rakyat buat kerajaan Malaysia Baru yang lebih progresif dan kasihkan rakyat.

Saban tahun kita mendengarkan pelbagai berita menyayat hati. Baru-baru ini kita dikejutkan dengan kematian seorang anak syurga berusia tiga tahun yang rangkanya ditemui dicampak di gaung Gunung Raya di Langkawi. Sebelumnya berita diatas berkaitan seorang anak gadis yang sedang mengaji dipukul kepala oleh ayahnya kerana berang terhadap anak gadis ini yang masih belum beroleh kerja setelah tamat pengajian di Universiti.

Mengapa ini semua terjadi? Ada pelbagai faktor yang boleh kita kaitkan, namun salah satunya adalah kurang sokongan moral terhadap kelompok atau individu ini. Panas baran adalah merupakan satu penyakit psikologi yang sebenarnya amat merbahaya sekiranya tidak dirawat. Individu yang memiliki gejala panas baran ini boleh bertindak diluar batas dan akhirnya akan berasa kesal setelah melihat perbuatan yang dilakukan. Mungkin dalam kalangan kita tidak menyedari akan kewujudan gejala ini di dalam diri sendiri atau ahli keluarga mahupun masyarakat sekeliling.

Maka disinilah pendidikan psikologi itu perlu menjadi sebahagian daripada keutamaan kepada masyarakat supaya masyarakat beroleh pendedahan terhadap isu-isu kesihatan mental dan psikologi yang berlaku kini. Sewajarnya Kementerian Pendidikan boleh mencadangkan supaya subjek atau topik berkaitan psikologi dimasukkan juga di dalam silibus pengajian anak-anak hari ini supaya kesedaran mengenai perihal ini dikongsi secara bersama oleh masyarakat awam menerusi kaedah pendidikan.

Kerajaan juga perlu mempertimbangkan untuk memperkenalkan Klinik Kaunseling untuk komuniti yang boleh dibangunkan di setiap daerah di seluruh negara. Peranan ini dilihat harus dimainkan secara maksima oleh pihak yang bertanggungjawab seperti Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta disokong oleh Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pendidikan juga. Klinik ini mungkin boleh disertakan bersama dengan klinik komuniti yang dijenamakan daripada Klinik 1 Malaysia sebelum ini.

Penting untuk dilihat khidmat kaunseling untuk masyarakat dibuka memandangkan setiap hari kita mendengarkan pelbagai perkara buruk berlaku dalam kalangan masyarakat berpunca dari kegagalan mengawal emosi dan gangguan psikologi mental yang tidak disedari. Khidmat kaunseling kerjaya bagi membantu generasi muda merancang pembinaan kerjaya pada masa hadapan juga boleh ditawarkan kelak agar perancangan kerjaya itu boleh dilakukan sebaiknya.

Dalam perihal ini Kerajaan Negeri Sembilan harus dipuji kerana menawarkan kepada masyarakat awam khidmat kaunseling menerusi Pusat Kaunseling Majlis Agama Islam Negeri Sembilan. Namun, tanpa menafikan kesungguhan usaha ini mungkin pusat yang digerakkan oleh Majlis Agama Islam dan berorientasikan kekeluargaan dan perkahwinan menyebabkan wujud stigma dalam kalangan masyarakat berbilang bangsa dan agama untuk mendapatkan khidmat di pusat ini.

Namun saya yakin dan pasti bahawa pusat ini berusaha keras untuk mempromosi tawaran perkhidmatan kaunseling yang terbuka serta menerima tanpa syarat seperti nilai dan etika yang dijunjung perkhidmatan kaunseling selama ini.

Klinik Kaunseling ini juga sekiranya kelak dibangunkan berupaya untuk mendapatkan khidmat kaunselor dengan mudah kerana sehingga hari ini masih ramai graduan bidang bimbingan dan kaunseling yang tidak beroleh kerja setelah tamat pengajian dan latihan kerana perlu menunggu kekosongan jawatan Pegawai Psikologi yang ditawarkan di dalam perkhidmatan awam disamping kurangnya pembangunan klinik kaunseling secara perkhidmatan swasta di negara ini.

Menerusi inisiatif ini boleh kerajaan ambil untuk memastikan selain perkhidmatan kaunseling ditawarkan kepada masyarakat peluang kerjaya juga boleh ditawarkan kepada graduan di dalam bidang ini yang kini tercampak ke pelbagai sektor yang akhirnya tidak memanfaatkan pengetahuan dan kemahiran yang dimiliki setelah mengambil masa yang lama untuk dikuasai.

Mungkin cadangan ini dilihat mudah diutarakan namun ini adalah langkah yang dicadangkan serta boleh dikaji oleh pihak kerajaan untuk memperkenalkan khidmat kaunseling kepada masyarakat awam. Saya akui ada usaha menawarkan perkhidmatan kaunseling ini menerusi pihak Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara ( LPPKN ) namun kekangan juga timbul bagi masyarakat umum untuk mendapatkan khidmat di pusat ini mungkin dari faktor kesesuaian kes atau jarak.

Dalam masa yang sama pendidikan kepada masyarakat harus lebih digalakkan dengan aktif lagi. Sehingga hari ini kes-kes berkaitan psikologi dan mental di negara ini semakin membimbangkan maka menjdi tanggungjawab kerajaan sebagai mematuhi tuntutan Maqasid Syariah untuk memperkenalkan perkhidmatan kaunseling kepada masyarakat umum secara holistik dan percuma.

Saya yakin semua pihak berkaitan perkhidmatan kaunseling akan menyokong usaha murni ini dan pada masa hadapan kita akan melihat ada impak positif terhadap perkembangan kesihatan mental dan emosi rakyat di negara ini. Maka usaha ke arah itu harus dimulai hari ini dan pendidikan mengenai kesihatan psikologi harus menjadi perjuangan semua pihak demi memastikan masyarakat ini memiliki rujukan yang secukupnya berkaitan kesihatan mental, emosi dan psikologi. Memetik kata-kata seorang tokoh ilmu Nusantara yang hebat, Buya Hamka;

“ Bahawasanya cinta yang bersih dan suci murni itu, tidaklah tumbuh dengan sendirinya ”

Maka begitulah juga masyarakat yang sihat emosi dan mentalnya tidak boleh diharapkan berlaku secara alami sahaja namun harus disertai dengan usaha dan kerjasama yang erat daripada semua pihak terutama kerajaan yang menjaga rakyat jelata yang setia kepada tanah bertuah ini.

Penulis adalah  pelajar sarjana B & K