Klinik Rahmatan Lil Alamin untuk golongan kurang berkemampuan

Klinik Rahmatan Lil Alamin untuk golongan kurang berkemampuan

Klinik berkonsepkan Rahmatan Lil Alamin telah berjaya beroperasi di Seberang Jaya dengan hanya mengenakan caj rawatan paling minima sebanyak RM5 bagi golongan tidak berkemampuan.

Kewujudan klinik yang dinamakan sebagai Klinik Wakaf An-Nur di Masjid Seberang Jaya, Seberang Perai Tengah, turut dibuka kepada semua golongan masyarakat tanpa mengambil kira kaum dan juga agama.

Demikian dinyatakan oleh Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman.

Jelasnya lagi, penubuhan klinik tersebut adalah hasil kesepakatan dan kerjasama yang terjalin antara Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang, Hospital Pakar KPJ dan juga Perbadanan Wakaf Johor.

“Golongan yang kurang berkemampuan boleh mendapatkan rawatan hanya dengan caj paling minima sebanyak RM5 sahaja.

“Lebih menarik lagi apabila ia turut dibuka kepada semua golongan masyarakat termasuk bukan Islam.

“Konsep Rahmatan Lil Alamin yang diamalkan ini adalah sejajar dengan aspirasi Kerajaan Negeri maupun Kerajaan Pusat, ” tegasnya.

Menurut Ahmad Zakiyuddin lagi, institusi wakaf sememangnya berkemampuan untuk menyediakan perkhidmatan dan rawatan yang lebih baik dan murah kepada masyarakat.

Malah katanya, penubuhan klinik ini merupakan cawangan ke 25 merangkumi seluruh negara.

“Segala ubat-ubatan, jururawat dan tenaga kerja disediakan oleh Hospital KPJ.

“Sejak ianya beroperasi pada Januari 2018 sehinggalah Februari tahun 2019, klinik ini telah menerima sejumlah 271 pesakit.

“Sementara itu seramai 233 pesakit yang telah menerima rawatan adalah terdiri dari kalangan masyarakat Melayu, ” tambahnya.

Manakala itu katanya, 13 orang yang telah menerima rawatan adalah terdiri dari masyarakat India,11 darinya adalah keturunan Cina dan 14 lagi merupakan bangsa-bangsa lain.