Malaysia Dateline

Klip video ajak berjudi hina, perlekeh Islam sebagai Agama Persekutuan

Klip video mengajak umat Islam berjudi tidak boleh dipandang mudah sebaliknya ia satu tindakan yang memalukan, menghina malah merendah-rendahkan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan.

Mahasiswa AMANAH berkata, dalam keadaan umat Islam sedang berpesta ibadah dibulan mulia ini ada yang ambil kesempatan untuk menormalisasilan aktiviti perjudian.

“Dengan menjadikan pelaksanaan sambutan perayaan umat Islam sebagai wadah penyebaran aktiviti perjudian haram secara atas talian,” katanya.

Bahkan katanya, normalisasi ini cukup membimbangkan generasi muda, tidak boleh dibiarkan untuk terus hidup dalam kancah kemungkaran seperti ini.

Dalam pada itu, Pemuda AMANAH Perak berkata penerbitan lagu raya berunsur judi online ini sangat tidak boleh diterima akal dan menyinggung hati umat Islam keseluruhan.

Justeru, Pengarah Komunikasi Mohd Ikhmal Mohd Iskandar mendesak agensi berkaitan seperti Polis dan Kementerian Komunikasi dapat mengambil tindakan segera bagi membendung penyebaran lagu raya tersebut seraya membanteras aktiviti judi online dari terus berleluasa.

“Kami sangat marah ekoran penularan lagu raya yang berunsur judi online di beberapa platform sosial media baru-baru ini.

“Tindakan tersebut telah mencemari kesucian bulan Ramadan yang mana Allah menjanjikan pengampunan kepada sesiapa yang menghidupkan Ramadan dengan amal-amal yang soleh,”katanya.

Tular mengenai sebuah klip video berkisarkan mengenai sebuah syarikat perjudian online BET333 yang telah menggunakan unsur kegamaan iaitu Hari Raya Aidilfitri sebagai unsur muzik video bagi mempromosikan aktiviti perjudian online dalam video tersebut.

Sekaligus mengundang kemarahan umat Islam ketika mereka sedang berlumba-lumba membuat ibadah ketika bulan yang mulia ini, Ramadan.