Malaysia Dateline

Klip video bantah jajaran LRT, PH Kepala Batas lapor polis

Angkatan Muda Keadilan (AMK) Cabang Kepala Batas bersama-sama dengan pimpinan komponen PH Kepala Batas telah membuat laporan polis berhubung penularan video bantahan cadangan pembinaan jajaran LRT dan isu tanah Masjid Sungei Nibong Besar.

Malah kenyataan yang dibuat oleh individu tersebut melalui video yang sedang viral boleh mengelirukan masyarakat selain kenyataan berbaur perkauman dan penggunaan bahasa yang kurang sopan terhadap Timbalan Ketua Menteri 1, Datuk Ir Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman.

Demikian dinyatakan oleh Ketua AMK Cabang Kepala Batas, Zainuddin Mohamed selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara semalam.

“Sepertimana yang telah pun dijelaskan oleh Ketua Menteri, Chow Kon Yeow dan Mufti Kerajaan Negeri, Datuk Seri Wan Salim Wan Noor bahawa keputusan jajaran LRT sepertimana yang didakwa belum lagi dimuktamadkan.

“Oleh kerana itu sebarang ketidakpuasan sepatutnya dibawa ke meja rundingan agar masalah yang berbangkit dapat diselesaikan dengan sebaik mungkin tanpa perlu kepada kenyataan yang boleh menggugat keharmonian dan perpaduan kaum di negeri ini.

“Malah kerajaan negeri masih dalam usaha berbincang dengan semua pihak yang terlibat termasuk institusi fatwa bagi memastikan satu keputusan yang terbaik dapat diambil serta pada masa yang sama menjaga sensitiviti orang Melayu dan Islam, ” ujarnya.

Kata Zainuddin lagi, sehubungan itu adalah diharapan agar pihak berkuasa dapat menyiasat individu terlibat disebalik penularan video tersebut supaya tiada kenyataan seumpamanya dikeluarkan oleh mana-mana pihak bagi mengawal keadaan.

Justeru itu jelasnya, adalah diharapkan Jawatankuasa Masjid Sungai Nibong Besar dapat berbincang dengan pihak Timbalan Ketua Menteri 1 dengan kadar yang segera bagi menyelesaikan pelbagai kekusutan yang wujud.