Malaysia Dateline

Kluster baharu, Bukit Bintang melibatkan 10 kes positif COVID-19

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini telah mengenalpasti satu kluster baharu di Bukit Bintang, Kuala
Lumpur.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, sehingga 24 Jun 2020 jam 12 tengah hari, sebanyak 10 kes positif COVID-19 telah dilaporkan dalam kluster ini yang melibatkan sembilan kes warganegara Bangladesh dan satu kes warganegara Malaysia.

Kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-8498) merupakan seorang lelaki bukan warganegara yang telah menjalani saringan COVID-19 untuk masuk kerja dan didapati positif pada 15 Jun 2020.

“Siasatan dan saringan COVID-19 ke atas semua kontak rapat telah dijalankan. Setakat ini seramai 274 orang telah disaring di mana 203 adalah bukan warganegara dan 71 adalah warganegara Malaysia,” katanya dalam sidang media hari ini.

Dalam pada itu, sebanyak enam kes positif dilaporkan hari ini melibatkan dua kes iaitu kes import yang mendapat jangkitan di luarnegara melibatkan satu warganegara Malaysia dan satu bukan warganegara yang merupakan pemastautin tetap.

Kesemua empat (4) kes penularan di dalam negara adalah dalam kalangan warganegara Malaysia.

Sehingga kini, sebanyak dua kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), tiada kes yang memerlukan bantuan pernafasan.

Hari ini dilaporkan tiada pertambahan kes kematian berkaitan COVID-19, justeru, jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah kekal sebanyak 121 kes.

Sebanayak 45 kes yang telah pulih dan dibenarkan discaj pada hari ini. Jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari COVID-19 dan telah discaj daripada wad adalah sebanyak 8,231 kes.