Malaysia Dateline

Kluster baharu terus bertambah di Sarawak

Sarawak terus merekodkan enam lagi penambahan kluster baharu menjadikan 86 kesemuanya setakat semalam.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak berkata, Jabatan Kesihatan Negeri telah mengisytiharkan enam lagi kluster wujud di negeri ini semalam dengan tiga dikesan di Daerah Miri manakala masing-masing satu di Mukah, Tatau dan Selangau.

JPBN memberitahu, enam kluster berkenaan ialah Kluster Bunut di Mukah, Kluster Jalan Brooke, Miri, Kluster Jee Cattleya, Miri, Kuster Jalan Pinang Riam, Miri, Kluster Sungai Penyarai, Tatau dan Kluster Nanga Meruan, Selangau.

“Tiga daripada kluster terbabit adalah kluster komuniti dan tiga lagi kluster tempat kerja.

“Manakala, Kluster Bunut di Mukah merupakan kluster komuniti yang dikesan di Kampung Bunut, Mukah melibatkan pergerakan sosial dan aktiviti berziarah semasa Hari Raya Aidilfitri yang lepas.

“Setakat semalam, kluster ini telah melibatkan beberapa buah keluarga di Kampung Bunut, Taman Crystal dan Kampung Sungai Alo di Mukah. Sejumlah 166 individu disaring,” ujar JPBN dalam satu kenyataan hari ini.

JPBN menambah, menerusi kluster ini juga seramai 30 kes dikesan positif termasuk kes indeks, 88 negatif dan 48 masih menunggu keputusan makmal.

Bagaimanapun katanya, kesemua kes positif telah dirujuk ke Hospital Bintulu, Hospital Mukah bagi tujuan pengasingan dan rawatan lanjut.

“Bagi Kluster Jalan Brooke di Miri adalah kluster tempat kerja yang dikesan dalam kalangan peniaga-peniaga pasar awam di Jalan Brooke, Miri.

“Kes indeks kluster ini merupakan seorang lelaki berusia 65 tahun yang dikesan melalui saringan pra kemasukan ke wad Hospital Miri setelah dibawa oleh orang awam ke Jabatan Kecemasan dan Trauma, pada 17 Mei 2021 selepas mengalami kecederaan akibat terjatuh dan disahkan positif pada 18 Mei 2021,” tegas JPBN.

JPBN turut memaklumkan Kluster Jee Cattleya di Miri juga merupakan kluster yang wujud di tempat kerja di sebuah kedai perabot yang terletak di Jalan Jee Foh 8 dan sebuah gudang beras di Jalan Cattleya 2B, Miri.

Jelas JPBN, indeks kepada kluster terbabit ialah seorang lelaki berusia 35 tahun yang dikesan melalui saringan pra perjalanan merentas zon ke Daerah Bintulu di sebuah hospital swasta di Miri pada 5 Mei 2021.

“Satu lagi kluster tempat kerja ialah Kluster Jalan Pinang Riam, Miri yang dikesan dalam kalangan pekerja sebuah premis restoran makanan segera di Jalan Miri-Bintulu, Riam, Miri.

Pada masa sama, JPBN menegaskan Kluster Sungai Penyarai, Tatau merupakan kluster komuniti yang dikesan di sebuah rumah panjang di kawasan Sungai Penyarai, Ulu Kakus, Tatau.

“Kluster lain yang turut diisytiharkan semalam ialah Kluster Nanga Meruan di Selangau yang melibatkan sebuah rumah panjang di kawasan Nanga Meruan, Dijih membabitkan aktiviti upacara pengebumian yang telah berlangsung pada 15 dan 16 Mei lalu,” kata JPBN.