Malaysia Dateline

Kluster baru dikesan di Kuala Muda melibatkan anggota polis

Satu kluster baharu dikesan di Daerah Kuala Muda Kedah hari ini melibatkan seorang lelaki (iaitu kes ke-9114) warganegara Malaysia yang merupakan seorang anggota polis.

Kementerian Kesihatan Malaysia memaklumkan kes yang dilaporkan pada hari ini (kes ke-9147) adalah merupakan rakan kerja kepada kes indeks.

Susulan itu katanya, aktiviti pengesanan kes secara aktif (Active Case Detection) dan saringan kontak rapat telah dijalankan pada 13 Ogos 2020 dan kes dikesan positif pada 14 Ogos 2020.

Sehingga 14 Ogos 2020, 124 kontak rapat beliau telah disaring. Daripada jumlah ini, dua kes dikesan positif COVID-19; lima negatif; dan 117 masih menunggu keputusan.

“Kesemua kes bagi kluster ini adalah warganegara Malaysia. Pengesanan kes secara aktif sedang diteruskan dan langkah-langkah pencegahan serta pembendungan jangkitan seperti proses pembersihan dan nyah kuman telah dijalankan di lokasi-lokasi yang dikenalpasti. Punca jangkitan masih di dalam siasatan,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, terdapat 11 kes baharu dilaporkan bagi Kluster Tawar pada hari ini, iaitu 10 kes di Kedah dan satu kes di Pulau Pinang (iaitu kes ke-9149).

“Adalah dimaklumkan bahawa kes ke-9129 daripada kluster ini yang dilaporkan semalam telah dimasukkan ke Hospital Pulau Pinang daripada sebuah pusat perubatan swasta, namun kes ini kekal didaftarkan sebagai kes di negeri Kedah,” katanya.

Sehingga 14 Ogos 2020 jam 12 tengah hari, seramai 261 orang telah disaring dalam kluster ini. Daripada jumlah ini, sebanyak 21 kes dikesan positif COVID-19.

Untuk hari ini terdapat 20 kes baharu yang telah dilaporkan menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 9,149 kes.

Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 196 kes.

Bagaimanapun, terdapat tujuh kes yang telah pulih COVID-19 pada hari ini menjadikan Jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari COVID-19 adalah sebanyak 8,828 kes (96.5 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).