Malaysia Dateline

Kluster kilang, tapak bina penyumbang utama kes Covid-19 di Selangor

Sektor perkilangan merangkumi 59 peratus daripada jumlah kluster di Selangor berdasarkan Minggu Epidemiologi (ME) ke-27 setakat 13 Julai lalu.

Ahli Pasukan Petugas Khas Covid-19 Selangor (STFC), Datuk Dr Khalid Ibrahim berkata, kluster tapak bina pula mencatatkan 10 peratus diikuti kluster komuniti 6.3 peratus dan kluster industri jagaan 5.3 peratus.

“Trend saringan berkaitan kluster meningkat sejak Jun membabitkan industri dan pekerja asing,” katanya dalam Forum Tanya Apa Saja bertajuk “Kes tinggi di Selangor: Tutup kilang penyelesaian terbaik?” malam tadi.

Berkongsikan lagi data, beliau turut memberitahu bagi tempoh ME yang sama itu juga sebanyak 75 peratus saringan di Selangor dilakukan di fasiliti swasta.

Hasil ujian saringan itu, jelas beliau, telah menyumbangkan 65 peratus kes positif Covid-19 di Selangor.

Dr Khalid berpendapat situasi tinggi peratusan tersebut berkaitan dengan tahap kesedaran rakyat di Selangor.

“Sebaik mengetahui mereka kontak rapat kepada individu positif Covid-19 tanpa menunggu ke fasiliti kerajaan, mereka secara sukarela ke fasiliti swasta,” katanya lagi.