Malaysia Dateline

Kluster mahkamah, penderhaka Agong uji wibawa Ismail Sabri

Timbalan Presiden AMANAH, Datuk Seri Salahuddin Ayub mempersoal sama ada barisan Kabinet Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob turut dianggotai ‘kluster mahkamah’.

Ahli Parlimen Pulai tersebut juga bertanyakan kemungkinan golongan yang menderhaka kepada titah Yang di-Pertuan Agong akan dilantik dalam Jemaah Menteri diterajui Perdana Menteri baharu itu.

“Adakah kluster mahkamah dan mereka yang jelas menderhaka kepada titah Yang di-Pertuan Agong akan dicadangkan sebagai menteri Kabinet?

“Inilah ujian pertama kewibawaan Perdana Menteri kesembilan. Rakyat memerhati dan menunggu,” katanya menerusi ciapan di Twitter hari ini.

Panggilan ‘kluster mahkamah’ merujuk kepada sejumlah pemimpin Umno yang berdepan pertuduhan di mahkamah.

Mereka termasuklah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan beberapa pemimpin Umno lain termasuk Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menghadapi tuduhan jenayah di mahkamah.

Tahun lalu, Najib dijatuhi hukuman penjara oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur atas tujuh tuduhan dan sedang dalam proses rayuan di Mahkamah Rayuan, manakala yang lain masih dalam proses perbicaraan.

Ismail Sabri, 61, dengan sokongan 114 Ahli Parlimen menggantikan kedudukan Tan Sri Mahiaddin Md Yassin sebagai Perdana Menteri yang meletak jawatan selepas hilang sokongan majoriti.

Mahiaddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) pada 1 Mac 2020 mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri kelapan selepas Pakatan Harapan (PH) tidak lagi mempunyai majoriti.

Kerajaan PH tumbang selepas Bersatu dipimpin Mahiaddin dan 11 Ahli Parlimen PKR berpaling tadah manakala kerajaan PN diterajuinya kemudian jatuh setelah sebahagian Ahli Parlimen Umno menarik sokongan.

Tempoh kerajaan diterajui Ismail Sabri hanya berbaki 21 bulan sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Kerajaan dipimpin Ismail terdiri daripada 54 Ahli Parlimen PN, BN (41), Gabungan Parti Sarawak (18) serta seorang Ahli Parlimen dari Parti Bersatu Sabah (PBS).