Malaysia Dateline

Kluster melancong ke Turki menjengkelkan, doktor rindu geng tabligh

Pelbagai kerenah mereka yang balik dari melancong ke Turki dilihat menyukarkan kerja petugas barisan hadapan dalam mengekang penularan pandemik berbahaya Covid-19.

Seorang doktor di Hospital Sungai Buloh berkongsikan pengalaman pasukannya berdepan dengan perangai mereka terbabit yang baginya menjengkelkan.

Beliau memberitahu rata-rata individu dari kluster baru itu merupakan golongan berada dan dikuarantin di hotel.

Berbeza dengan jemaah tabligh, Dr Mohd Afiq menyifatkan hampir majoriti daripada kluster tersebut sebagai merendah diri dan mudah dirawat oleh petugas kesihatan.

Ikuti pengalaman Dr Mohd Afiq yang tular dengan mendapat lebih 6,100 komentar dan 29,000 perkongsian selepas 24 jam dimuatnaik di Facebook beliau:

Kluster baru yang menjengkelkan

“Dulu setiap hari satu bas turun daripada tabligh dan madrasah. Diorang ni semua sangat mudah memberikan kerjasama. Seronok terasa merawat diorang ni walaupun berpeluh-peluh dek PPE (pakaian perlindungan diri). Rasa macam rawat kawan-kawan kita yang sangat mesra dengan kita.

Sentiasa dengar azan berkumandang dalam wad. Bacaan al-quran hampir setiap masa. Wad kusta lama yang penuh dengan cerita hantu pun rasanya hantu-hantu lari bertempiaran kerana pendinding semula jadi dek kerana akhlak dan zikir mereka.
Hampir keseluruhannya sangat merendah diri, sentiasa memberi kerjasama yang terbaik. Tak pernah merungut..

Itulah kluster TABLIGH walaupun mungkin saya tak berapa setuju mereka dicop sebagai kluster tabligh dek kerana satu dua peserta yang pentingkan diri sendiri menyebabkan yang lain menjadi mangsa tetapi disebabkan zikir yang disebut semua maka nak buat macam mana.

Kini, datang satu kluster baru. Diorang panggil kluster TURKEY/OVERSEA. Saya panggil kluster JENGKEL. Bas kini datang daripada KLIA dan hotel-hotel. Diorang ni acah-acah jadi mangsa penyakit Covid.

Padahal, masa diorang pergi melancong, diorang tanpa segan silu papar gambar diorang melancong malah ada yang siap perli kata Corona tiada kat tempat sejuk dan sebagainya. Kadang-kadang terasa macam kita ni lebih kepada merawat sifat pentingkan diri mereka daripada merawat Covid itu.

Dan mintak maaf cakap. Kluster ni lebih banyak demand. Bila nak hantar ke wad macam wad kusta ataupun institut latihan, diorang ni demand taknak pergi sebab panaslah, tidak selesa dan macam-macam lagi.

Tu tak termasuk yang dok persoal kenapa nak amik darah la, kenapa tak amik swab awal la dan bila kita masuk untuk periksa diorang masing-masing sibuk dengan gajet. Kita ni macam endah tak endah je..

Bukan semua yang macam tu especially yang berada di luar negara atas urusan yang tak dapat dielakkan seperti belajar. Tetapi so far yang dapat sebab pergi melancong ni memang sangat menjengkelkan..

Saya faham. Mereka ni kebanyakan orang berada, ada kabel besar dan tak puas hati sedikit terus bawak ke atasan, dikuarantin pun di hotel-hotel.

Nak buat macam mana. Kena hadap jugak la untuk berapa bulan pulak yang mendatang. Kita ni pekerja kesihatan berapa ramai yang dah tak dapat jumpa mak ayah sebab kerja kita berisiko. Diorang ni pulak datang dan tambah masa kita berjauhan. Selamatlah bekerja semua.

Rindu geng tabligh.”

Dr Mohd Afiq kadang-kadang terasa lebih kepada merawat sifat pentingkan diri kelompok yang berada daripada merawat Covid.