Malaysia Dateline

Kluster menteri Umno akan kekal dalam kerajaan PN

Para menteri dan timbalan menteri Umno yang berjumpa Perdana Menteri petang semalam mengambil keputusan untuk kekal dalam kerajaan sehinggalah Majlis Kerja Tertinggi Umno membuat keputusan mengenainya.

Menurut sumber, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin memberikan nasihat kepada mereka yang dikenali ‘kluster menteri’ itu agar kekal dalam kerajaan sehingga Parlimen dibubarkan.

“Mereka akan berhujjah dalam mesyuarat MKT untuk kekal dalam kerajaan PN sehingga Parlimen dibubarkan,” kata sumber kepada Malaysia Dateline.

Mereka telah memberikan mandat kepada Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri untuk bercakap dalam mesyuarat MKT akan datang bagi mempertahankan hujah kenapa Umno perlu kekal dalam kerajaan.

Selain Ismail, turut serta dalam pertemuan itu adalah Tan Sri Annuar Musa (Menteri Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah (Menteri Tenaga dan Sumber Asli, MP Lenggong), Datuk Seri Dr Adham Baba (Menteri Kesihatan, MPTenggara) di samping Datuk Dr Noraini Ahmad (Menteri Pengajian Tinggi, MP Parit Sulong).

Perhimpuan Agung Umno (PAU) Ahad lepas mengambil ketetapan untuk memutuskan hubungan dengan Bersatu.

Namun begitu, tidak dinyatakan dengan jelas bilakah keputusan itu akan dilaksanakan.

Seorang bekas pemimpin Umno yang menyertai Bersatu, Datuk Rosol Wahid mencabar Umno agar membuat keputusan untuk keluar dari kerajaan PN sekarang kalau berani.

Pengerusi Majlis Penasihat Umno, Tengku Razaleigh Hamzah berpendapat, jika diluluskan oleh PAU, kesemua menteri, timbalan menteri dan pemegang jawatan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dari Umno melepaskan jawatan
mereka segera.

Kini PAU 2020 telah meluluskan usul itu namun Umno sehingga sekarang masih belum membuat keputusan.