Malaysia Dateline

Kluster Pasai terus mengganas di Sarawak

Kluster Pasai terus mengganas di Sarawak apabila merekodkan pertambahan kes berbanding kluster lain yang masih aktif di negeri ini.

Menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, setakat semalam Kluster Pasai telah mencatat penambahan 88 kes kesemuanya.

Justeru, kata JPBN ia sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan kluster berkenaan meningkat kepada 982 kes.

“Semalam sejumlah 8,250 individu telah pun disaring, yang mana 5,500 negatif dan 1,768 masih menunggu keputusan makmal.

“Manakala setakat semalam terdapat lapan kluster masih aktif di negeri ini iaitu Kluster Rakut di Miri yang turut merekodkan pertambahan 18 kes dan menjadikan jumlah keseluruhan meningkat kepada 28 kes,” ujar JPBN dalam satu kenyataan.

Jelas JPBN lagi, daripada itu sejumlah 100 individu yang disaring, 44 orang adalah negatif dan 28 lagi masih menunggu keputusan makmal.

“Untuk Kluster Bukit Sekubong (Sebauh), Kluster Jelita (Miri), Kluster Keranji Tabuan (Kuching), Kluster Bah Sayap (Miri), Kluster Stutong (Kuching) dan Kluster Mador (Meradong tiada pertambahan kes direkodkan semalam,” tegas JPBN.

Pada masa sama, JPBN turut memaklumkan Daerah Kuching, Sibu, Miri, Beluru dan Kanowit adalah kekal berstatus merah dengan sejumlah 1,206 kes jangkitan tempatan dicatatkan dalam tempoh 14 hari yang lalu.

JPBN juga memberitahu, Daerah Sebauh dan Dalat turut kekal berstatus jingga dengan 50 kes jangkitan tempatan dilaporkan dalam tempoh yang sama.