Malaysia Dateline

Kluster Pedas: KKM kesan 60 kes positif Covid-19

Sebanyak 60 kes positif Covid-19 dikesan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melibatkan kluster Pedas.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sehingga hari ini, seramai 786 orang telah disaring untuk Covid-19.

Beliau berkata, mereka terdiri daripada pekerja kilang dan ahli keluarga mereka.

“Daripada jumlah keseluruhan ini, 60 kes didapati positif, 286 kes negatif dan 440 orang masih menunggu keputusan.

“Kes-kes positif kluster ini melibatkan tujuh warganegara Malaysia dan 53 bukan warganegara.

“53 kes bukan warganegara itu adalah, 25 kes warga Nepal, Bangladesh (18 kes), Indonesia (8 kes) dan dua kes lagi melibatkan warga Myanmar. Punca jangkitan bagi kluster ini masih dalam siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Dr Noor Hisham lagi, kluster itu mula dikesan apabila seorang kakitangan kilang tersebut didapati tidak sihat dan mula mengalami gejala demam, batuk, selesema, sesak nafas dan sakit kepala pada 5 April 2020.

“Beliau telah mendapatkan rawatan di klinik kesihatan dan ujian Covid-19 telah dijalankan pada 10 April 2020. Pada 12 April 2020, keputusan ujian pengesanan wabak itu disahkan positif,” ujarnya lagi.

Sementara itu, Dr Noor Hisham memaklumkan, terdapat 88 kes yang telah pulih dan dibenarkan discaj pada hari ini.

Katanya, jumlah itu menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari Covid-19 dan telah discaj daripada wad adalah sebanyak 4,864 kes atau bersamaan 74.43 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.