Malaysia Dateline

Kluster pendidikan meningkat lebih 300 peratus

Kementerian Kesihatan (KKM) bimbang dengan trend peningkatan dalam beberapa kategori kluster jangkitan Covid-19, terutama kluster pendidikan sepanjang tempoh minggu lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata peningkatan mendadak sebanyak 313.3 peratus dalam kluster pusat pendidikan amat membimbangkan berikutan individu daripada pelbagai isi rumah akan berada dalam ruang dan waktu yang sama berisiko menyebabkan tercetusnya kluster yang tidak diingini.

Sepanjang tempoh minggu lalu, jelasnya, KKM mengesan sebanyak 62 atau 70.5 peratus kluster pusat pendidikan disusuli 18 (20.5 peratus) kluster tempat kerja, empat (4.6 peratus) kluster kumpulan berisiko tinggi dan masing-masing satu (1.1 peratus) kluster komuniti; kluster keagamaan; kluster import dan kluster pusat tahanan.

“Pada ME 3/2022, kluster institusi pendidikan menunjukkan peningkatan yang mendadak sebanyak 313.3 peratus.

“Selain itu, kluster tempat kerja dan kluster pusat tahanan juga menunjukkan peningkatan 80 peratus dan 100 peratus.

“Kluster komuniti, kluster kumpulan berisiko tinggi dan kluster import pula masing-masing mencatatkan penurunan sebanyak 88.9 peratus, 20.0 peratus dan 66.7 peratus pada ME 3/2022, berbanding ME 2/2022,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Untuk rekod, sesi persekolahan bermula 9 Januari lalu.

Sehubungan itu, Dr Noor Hisham meminta prosedur operasi standard (SOP) perlu sentiasa ditekankan sama ada sebelum, semasa, dan selepas sesi persekolahan walaupun kebanyakan populasi dewasa dan remaja sudah menerima vaksin Covid-19.