Malaysia Dateline

Kluster restoran KL di Brickfields dikesan

Kementerian Kesihatan mengesahkan wujud satu kluster baharu Covid-19 yang telah dikesan di sebuah restoran di Brickfields di ibu negara.

Hasil saringan rawak di lapangan oleh Pejabat Kesihatan Daerah mendapati dua kes dikesan positif Covid-19 sehingga jam 12 tengah hari tadi.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata seramai 250 orang iaitu 14 orang pekerja restoran dan 236 orang pelanggan restoran telah disaring.

Menurutnya dalam satu kenyataan media hari ini, 248 daripada mereka negatif.

“Kluster ini melibatkan dua bukan warganegara, iaitu warga India yang merupakan kes indeks kluster ini (iaitu kes ke-8666) dan kontak rapat kes yang dilaporkan pada hari ini.

“Punca jangkitan kluster masih di dalam siasatan,” jelasnya.

Selain itu, kluster rumah kongsi di Sepang pula mempunyai dua kes positif Covid-19 iaitu seorang warga Indonesia yang merupakan kes indeks kluster ini (iaitu kes ke-8739) dan seorang lagi warga Bangladesh yang merupakan kontak rapat kes yang dilaporkan pada hari ini.

Dua lagi warga Indonesia sah dijangkiti Covid-19 dari kluster jeti Kuching.

Hari ini 15 kes baharu dilaporkan setakat tengah hari tadi dengan 11 daripadanya adalah jangkitan tempatan manakala empat lagi adalah kes import.

Kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 di negara ini kembali ke tiga angka iaitu 103 kes.