Malaysia Dateline

Kluster tempat kerja kekal mendominasi, 20 kluster hari ini

Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan 20 kluster tempat kerja hari ini manakala sembilan kluster dalam kalangan komuniti dan satu kumpulan berisiko tinggi.

Kesemua 30 kluster baharu ini sekali gus menyaksikan pertambahan kepada 867 kluster aktif setakat jam 12 tengah hari tadi.

Daripada 20 kluster tempat kerja baharu, lapan kluster dikesan di Selangor dan tiga kluster di Negeri Sembilan.

Selain itu, dua masing-masing di Johor dan Kedah serta satu kluster tempat kerja masing-masing di Sarawak, Sabah, Kuala Lumpur, Perak dan Pahang.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata kluster di tempat kerja tersebut membabitkan jangkitan pada pekerja kilang, syarikat perkhidmatan, pekerja ladang dan pasar raya.

Kluster Industri Jalan Seruling 57 di Klang muncul mencatatkan kluster tempat kerja dengan jumlah positif Covid-19 tertinggi iaitu 101 kes.

Seramai 319 pekerja kilang di Jalan Seruling 57, Taman Klang Jaya dalam kluster terbabit disaring.

Sementara itu, terdapat 81 daripada 683 kes yang disaring dalam Kluster Jalan Haruan Tujuh di Negeri Sembilan positif Covid-19 setakat hari ini.

Kluster tersebut membabitkan pekerja sebuah syarikat perkhidmatan di Jalan Haruan 7, Medan Perdagangan Oakland di Seremban.

Berikut senarai 20 kluster tempat kerja yang dilapor KKM hari ini:

1. Kluster Tapak Bina Persiaran Aspirasi, Selangor (16 kes)
2. Kluster Sungai Linau, Selangor (12 kes)
3. Kluster Jalan Langat Utama Satu, Selangor (12 kes)
4. Kluster Industri Jalan Kilang Bestari, Selangor (22 kes)
5. Kluster Industri Jalan Seruling 57, Selangor (101 kes)
6. Kluster Industri Rawang Perdana Satu, Selangor (28 kes)
7. Kluster Industri Mahkota Beranang, Selangor (36 kes)
8. Kluster Industri Jalan Udang, Selangor (22 kes)
9. Kluster Jalan Haruan Tujuh, Negeri Sembilan (81 kes)
10. Kluster Perusahaan Pantai, Negeri Sembilan (74 kes)
11. Kluster Permata Satu 2, Negeri Sembilan (36 kes)
12. Kluster Jalan Sungai Antu, Sarawak (24 kes)
13. Kluster Industri Murni Lapan, Johor (31 kes)
14. Kluster Jalan Keluli Industri, Johor (21 kes)
15. Kluster Dah Industri Sungai Getah, Kedah (16 kes)
16. Kluster Dah 3/5 Industri Sungai Petani, Kedah (22 kes)
17. Kluster Paris Tiga, Sabah (29 kes)
18. Kluster Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur (22 kes)
19. Kluster Pulai Jaya Sembilan, Perak (6 kes)
20. Kluster Sentral Triang, Pahang (18 kes)