Malaysia Dateline

Kluster tempat kerja mendominasi walau kes aktif menurun sejak dua minggu

Kluster di tempat kerja terus mendominasi kluster baharu apabila 11 dari 19 kluster direkodkan hari ini adalah dari kluster terbabit.

Selangor mencatatkan jumlah tertinggi dengan lima kluster tempat kerja dikenalpasti dengan tiga daripadanya melibatkan sektor perkilangan manakala bakinya dikesan di tapak pembinaan.

Di Pahang, dua kluster tempat kerja iaitu Kluster Indera Mahkota 16 dan Kluster Lorong Empat Jerantut dengan masing-masing merekodkan sembilan kes positif Covid-19 setakat ini.

Kluster Tapak Bina Persiaran Hamidiah mencatatkan jangkitan tempat kerja tertinggi hari ini dengan 244 kes positif pandemik tersebut. Seramai 332 individu disaring dari kluster terletak di Hulu Langat itu.

Sejak 6 Jun lalu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 di negara ini konsisten berkurang daripada 86,628 kes kepada 63,815 kes hari ini.

Walau bagaimanapun, jumlah harian pesakit Covid-19 ke Unit Rawatan Rapi (ICU) di hospital di negara ini serta bilangan pesakit memerlukan bantuan oksigen dan alat pernafasan tidak banyak berubah sepanjang tempoh tersebut.

Setakat 12 tengah hari ini, 880 pesakit Covid-19 dirawat di ICU termasuk 454 kes memerlukan alat bantuan pernafasan.