Malaysia Dateline

Kluster terbesar Perhimpunan Seri Petaling diisytihar tamat

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengisytiharkan Kluster Perhimpunan Seri Petaling iaitu kluster COVID-19 yang terbesar di Malaysia telah tamat hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kluster ini telah dikesan susulan satu perhimpunan keagamaan yang telah diadakan di sebuah masjid di Seri Petaling, Kuala Lumpur pada 27 Februari hingga 3 Mac 2020.

Perhimpunan yang telah berlangsung selama empat hari telah dihadiri seramai 16,000 orang iaitu 14,500 warganegara Malaysia dan 1,500 bukan warganegara dari pelbagai negara lain.

Katanya, kes positif COVID-19 pertama kluster ini dilaporkan di dalam negara pada 11 Mac 2020 iaitu seminggu selepas perhimpunan berakhir melibatkan kes ke-131 dan kes ke-136.

Mereka adalah warganegara Malaysia dari negeri Pahang dan Negeri Sembilan yang telah hadir perhimpunan tersebut.

Noor Hisham berkata, kluster ini besar kemungkinan berpunca dari luar negara dan kemudiannya merebak di dalam komuniti melalui aktiviti perhimpunan secara besar-besaran melalui kontak rapat kes yang positif.

Penularan jangkitan COVID-19 melalui kluster ini telah menular ke seluruh negara Malaysia

Sehingga 8 Julai 2020, sejumlah 42,023 individu telah disaring dalam kluster ini.

Daripada jumlah ini, 3,375 kes positif telah dilaporkan positif COVID-19 iaitu 38.9 peratus daripada jumlah
kes positif COVID-19 di Malaysia.

Kes-kes bagi kluster dan subkluster di bawahnya adalah dikesan di 7 buah negeri melibatkan 2,550 warganegara Malaysia dan 825 bukan warganegara dari 28 buah negara.

Kebanyakan kes positif kluster ini adalah tidak bergejala iaitu, 2,187 kes atau 64.8 peratus daripada jumlah keseluruhan kes positif kluster ini.

Seramai 87 pesakit telah dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), daripada jumlah ini, 29 pesakit memerlukan bantuan pernafasan.

Seramai 3,341 individu telah sembuh, justeru itu menjadikan kadar pesakit yang telah sembuh 98.9 peratus. Tiada lagi kes aktif dalam kluster ini.

Seramai 34 kematian telah dilaporkan dalam kluster ini yang terdiri daripada 31 warganegara Malaysia dan tiga bukan warganegara melibatkan 30 orang lelaki dan empat orang perempuan.