Malaysia Dateline

KM ada 4 buah kereta, tiada keperluan beli yang baru, kata Adly

Adly Zahari menafikan pernah membuat permohonan pembelian kereta mewah berjenama Lexus sewaktu beliau menjadi Ketua Menteri Melaka semasa pentadbiran Pakatan Harapan (PH).

Beliau mendakwa, Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Kota Melaka cuba memfitnahnya selepas gambar kenderaan baharu Ketua Menteri Melaka, tersebar di media sosial dengan memaparkan plat nombor M1.

Jelas Adly, semasa menjawat jawatan Ketua Menteri, beliau mewarisi dari kerajaan terdahulu sebanyak empat buah kenderaan yang boleh dimanfaatkannya dan menyifatkan tiada keperluan untuk kenderaan baru.

“Nasihat saya kepada pemuda Umno, jadilah anak muda Melayu Islam yang bertanggungjawab dan jujur dalam menyampaikan maklumat.

“Belilah apa sahaja kenderaan yang mahu dibeli, tapi harus mengambil kira kemampuan semasa kewangan kerajaan disamping keutamaan kepada rakyat.

“Pada sidang DUN lalu, pendapatan kerajaan negeri direkodkan merosot, di mana sehingga September 2020 dianggarkan kerajaan negeri mampu mencapai 55 peratus sahaja pendapatan dari yang dibajetkan,” katanya dalam satu hantaran Facebooknya hari ini.

Justeru Adly yang juga Pengerusi AMANAH Melaka menasihatkan agar semua pihak dapat berjimat cermat dalam urusan perbelanjaan.

Sebelum ini, pengguna media sosial mendedahkan bahawa Datuk Sulaiman Md Ali baru sahaja membuat pembelian kereta baharu yang berjenama Lexus dengan plat nombor ‘M1′.

Untuk rekod, M1 adalah plat kereta rasmi Ketua Menteri Melaka.

Susulan pembelian kereta itu di saat keadaan rakyat yang semakin tertekan dengan kegawatan ekonomi, ianya mencetuskan pertikaian dan kemarahan orang ramai terutama rakyat Melaka.

Sementara itu, Adly secara sinis berkata, beliau tidak berminat membesarkan isu yang kecil dan sekadar memberi peringatan kepada anak-anak muda yang baru belajar berbohong.