Malaysia Dateline

KM, Exco P.Pinang potong gaji untuk Tabung Harapan

Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang memutuskan untuk memotong sebanyak 10 peratus dari gaji Ketua Menteri serta 10 exco berkuatkuasa mulai 1 Jun 2018, demikian tegas Ketua Menteri, Chow Kon Yeow.

Pemotongan itu jelas beliau akan disalurkan kepada Tabung Harapan sebagai usaha membantu meringankan beban hutang yang ditanggung Kerajaan Pesekutuan.

“Dengan potongan tersebut maka gaji Ketua Menteri akan dipotong sebanyak RM1417.51, manakal gaji setiap exco pula akan dipotong sebanyak RM1,210.92 setiap bulan. Sejumlah RM13,526.80 sebulan yang dipotong dan disalurkan terus ke akaun Tabung Harapan tersebut,”katanya dalam sidang akhbarnya semalam.

Tambah beliau, keputusan sebulat suara yang telah diputuskan oleh barisan exco akan dilaksanakan sehingga satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

“Tindakan yang diambil ini membuktikan keprihatinan kerajaan negeri terhadap beban yang terpaksa ditanggung oleh kerajaan pusat.

“Sehubungan itu pendekatan yang diambil ini mampu untuk membantu kerajaan sepertimana yang dilaksanakan oleh beberapa kerajaan negeri Pakatan Harapan yang lain.

“Ia turut menunjukkan kesanggupan kerajaan negeri untuk sama-sama seiring dengan kerajaan pusat bagi membela nasib rakyat dan juga menjaga kepentingan negara, ” tambahnya lagi.

Terdahulu, kerajaan negeri Kedah dibawah kepimpinan Datuk Seri Mukhriz Mahathir turut mengumumkan mengenai pemotongan 10 peratus dari gaji Menteri Besar dan barisan exco untuk tujuan yang sama.

Tabung Harapan yang ditubukan semalam oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamed telah berjaya mengumpul lebih RM7 juta.