KM Pulau Pinang umum pembubaran Dun esok

KM Pulau Pinang umum pembubaran Dun esok

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng akan mengumumkan mengenai pembubaran Dewan Undangan Negeri (Dun ) Pulau Pinang pada hari Isnin.

Menurut Guan Eng, beliau akan bertemu dengan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Dato’ Seri Utama, Dr Abdul Rahman Abbas di Seri Mutiara pada jam 8.30 pagi.

“Selepas pertemuan tersebut pengumuman akan dibuat bagi memaklumkan mengenai perkara berkaitan.

“Pembubaran tersebut adalah bagi memberi laluan kepada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) yang akan datang.

“Satu sidang media khas akan turut diadakan yang akan dimaklumkan kemudian bagi menyatakan perkembangan selanjutnya,” jelasnya lagi.

Dun Pulau Pinang mempunyai sebanyak 40 kerusi.

Dalam PRU13 yang lalu, BN memperolehi sebanyak 10 kerusi, manakala DAP pula berjaya menang di 19 buah kerusi.

PKR pula menang 10 kerusi dan Pas hanya 1 kerusi.

BN berjaya memenangi kerusi Dun Penaga, Bertam, Pinang Tunggal, Permatang Berangan, Sungai Dua, Teluk Air Tawar, Sungai Acheh, Bayan Lepas, Pulau Betong dan Teluk Bahang.

DAP pula berjaya menang bagi kerusi Dun Sungei Puyu, Bagan Jermal, Bagan Dalam, Berapit, Padang Lalang, Perai, Jawi, Tanjung Bunga, Air Puteh, Pulau Tikus, Padang Kota, Komtar, Pengkalan Kota, Datuk Keramat, Sungai Pinang, Batu Lanchang, Seri Delima, Air Itam dan Paya Terubong.

PKR turut menang kerusi Dun Penanti, Seberang Jaya, Machang Bubuk, Bukit Tengah, Bukit Tambun, Sungei Bakap, Kebun Bunga, Batu Uban, Batu Maung dan Pantai Jerejak.

Pas pula hanya menang kerusi tunggal di Permatang Pasir.

Sementara itu bagi 13 kerusi Parlimen yang ada di Pulau Pinang, BN hanya berjaya menang 3 buah kerusi di Kepala Batas, Tasek Gelugor dan Balik Pulau.

Manakala DAP berjaya menang 7 kerusi bagi Parlimen Bagan, Bukit Mertajam, Batu Kawan, Bukit Bendera, Tanjong, Jelutong dan Bukit Gelugor.

PKR turut berjaya menang 3 kerusi bagi Parlimen Nibong Tebal, Bayan Baru dan Permatang Pauh.

10.0
OVERALL SCORE
: 10.0
Have no any user vote