Malaysia Dateline

KM Sarawak ‘terkejut’ ditanya tarikh DUN dibubarkan, dijangka buat sidang media esok

Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg ‘terkejut’ sebaik ditanya bilakah tarikh Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak dibubarkan.

Ini berikutan timbulnya desas-desus yang mengatakan bahawa DUN Sarawak akan dibubarkan hari ini.

Malah, esok (22 Oktober) Abang Johari dijangka akan mengadakan sidang media khas berkaitan dengan pembubaran DUN Sarawak sekali gus memberi laluan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-12.

DUN Sarawak sepatutnya berakhir pada 6 Jun 2021, tetapi PRN12 terpaksa ditangguhkan setelah Proklamasi Darurat di seluruh negara diisytiharkan kerana Covid-19.

Bagaimanapun setelah darurat ditamatkan pada 1 Ogos, Sarawak menjadi satu-satunya negeri yang meneruskannya sehingga 2 Februari tahun depan.

Ketika mengadakan lawatan ke Bahagian Sri Aman hari ini, Abang Johari mengakui telah menghadap Yang di-Pertuan Agong baru-baru ini.

“Saya ada menghadap (Yang Di-Pertuan Agong) tetapi bertanya mengenai Perintah Darurat dan hal (berkaitan) Covid-19, itu sahaja. Itu sahaja yang saya tanya (kepada Yang di-Pertuan Agong). Tidak ada apa-apa.”

“Tunggulah. Tunggu jak kita duak tiga hari tok…seminggu. Malar jak nunggu-nunggu, sik juak. Tunggulah. Saya pun nunggu (bila pilihan raya), ‘ seloroh beliau dalam dialek Sarawak.

Abang Johari menegaskan bahawa beliau tidak mempunyai kuasa untuk menentukan tarikh pilihan raya.

“Saya tidak tahu bila pilihan raya akan diadakan, bukan kuasa saya. Ia kuasa Agong (menamatkan Darurat), kalau baginda mengatakan pilihan raya, pilihan raya lah, bukan kuasa saya. Saya tidak boleh memberitahu secara terperinci kerana ini bukan kuasa saya,” ujarnya.