Malaysia Dateline

KMM: Presiden NGO Ummah ada masalah hati, selar MPT Bersatu

Presiden NGO Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) Aminuddin Yahaya diselar sebagai tidak adil apabila mengeluarkan kenyataan yang mengatakan Kongres Maruah Melayu semalam adalah gagal.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) ,Dr. Muhammad Faiz Na’aman berkata kenyataan Aminuddin yang mengkritik isi ucapan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir dilihat bersulamkan fitnah kerana menyifatkan Amanat Tun M menghina dan merendahkan orang Melayu.

Katanya, Aminuddin bagaikan mempunyai masalah hati apabila cuba memberi gambaran salah bahawa resolusi yang dibentangkan dalam kongres tersebut tidak mendapat perhatian PM yang turut hadir dengan menuduh kongres itu tidak mencapai matlamat.

“Matlamat apa lagi yang kamu nak lihat Aminuddin? teguran Tun Dr. Mahathir itu merujuk kepada sebilangan masyarakat Melayu yang hanya mahu dibantu kerajaan serta rela menganggur daripada mencari kerja.

“Teguran Dr. Mahathir tersebut wajar dilihat dari sudut positif bagaikan seorang datuk menasihati cucu-cucunya agar terus rajin dan berani dalam memajukan diri mereka.

“Ahli parlimen Bachok dari Pas Nik Mohamd Abduh Nik Abdul Aziz dalam kenyataannya di laman Harakahdaily turut memuji Kongres Maruah Melayu dan menyeru agar Melayu melihat teguran Tun Dr. Mahathir tersebut dalam konteks yang positif.

“Melayu yang bermaruah tidak perlu fobia terhadap kelebihan kaum lain disekelilingnya. Kerana hampir semua masalah kaum Melayu di Nusantara ini berpunca dari kelemahan diri mereka sendiri sejak jatuhnya Empayar Melayu Melaka lebih 500 tahun dahulu,” katanya.

Faiz dalam kenyataanya juga berkata, maka wajarnya hadir seorang negarawan untuk mengoncang mimpi indah Melayu-Melayu yang masih berfikir nasib mereka boleh berubah melalui jalan politik, melalui tongkat dari kerajaan atau melalui naungan pihak istana.

Beliau turut menegaskan bahawa Ingin perjuangan Agama, Bangsa dan Tanah Air bukan milik eksklusif mana-mana parti politik, NGO atau orang perseorangan.

“Jangan rasa hanya diri kita sahaja yang kononnya layak untuk memperjuangkan semua tersebut sedangkan pihak lain pun ada cara dan pendekatan masing-masing.

“Perasaan syok sendiri, rasa lebih layak dan mulia dari pihak lain, itulah perasaan yang boleh membunuh ukhwah sebenar sesama umat Melayu di negara ini. Kita dituntut mencari persamaan, menerokai sebarang ruang untuk bekerjasama dan saling lengkap-melengkapi walaupun berbeza wadah perjuangan.

“Saya memuji para pemimpin Melayu dari pelbagai parti politik, NGO dan ideologi yang rela hadir ke Kongres Maruah Melayu tersebut dan sepentas bersama Tun Dr. Mahathir di akhir acara. Itulah yang mahu dilihat oleh orang Melayu di luar sana. Mereka mahu kita bersatu kembali,” ujarnya.