Malaysia Dateline

KMUM gesa KPT, MKN benarkan mahasiswa pulang ke kampung

Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (KMUM) menggesa kerajaaan khususnya Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk membawa pulang mahasiswa ke kampung susulan lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Melalui gesaan itu, KMUM mencadangkan KPT dan MKN bekerjasama dengan universiti-universiti khususnya Universiti Malaya (UM) agar dapat mempertimbangkan perlaksanaan usaha membantu mahasiswa pulang ke kampung mereka.

“Pihak KMUM sedar bahawa terdapat pelbagai faktor yang perlu diambil kira dalam usaha untuk melaksanakan inisiatif ini. Dalam masa sama, keselamatan mahasiswa dan ancaman daripada wabak Covid-19 ini perlu dipelihara.

“Oleh itu, KMUM mencadangkan agar operasi ini turut menurut SOP keselamatan seperti yang digariskan KKM. Operasi ini boleh dijalankan secara berperingkat dari semasa ke semasa untuk melancarkan pergerakan mahasiswa pulang ke kampung halaman mereka.

“Dalam masa sama, pantauan rapi dan ketat boleh dilaksanakan oleh pegawai-pegawai KKM, pihak Angkatan Tenteta Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) agar keselamatan dan kesihatan mahasiswa terus terjamin sekiranya inisiatif ini dilaksanakan,” katanya menerusi kenyataan.

Selain gesaan yang dilakukan, KMUM turut melontarkan idea kepada pihak kerajaan untuk membantu membawa pulang mahasiswa yang ingin pulang dari atau ke Sabah dan Sarawak.

“Bagi mahasiswa yang ingin pulang dari atau ke Sabah dan Sarawak, pihak kerajaan boleh bekerjasama dengan mana-mana syarikat penerbangan terutamanya Malaysia Airlines (MAS) yang kini sudah mempunyai perbincangan rapat dengan pimpinan mahasiswa di peringkat universiti.

“Namun, sudah pastilah prosedur perlaksanaannya juga harus mementingkan keselamatan mahasiswa seperti pergerakan pulang domestik antara negeri di Semenanjung Malaysia.

“KMUM juga menyokong sekiranya ada usaha dan inisiatif lain daripada pihak kerajaan dan universiti untuk membantu membawa pulang mahasiswa ke kampung halaman masing- masing.

“Usaha ini sekiranya dilaksanakan, ianya perlu dijalankan secara beransur-ansur kerana keselamatan mahasiswa tetap perlu diutamakan,” ujarnya lagi.