Malaysia Dateline

Kocak sentimen kaum kerana tandus isu burukkan PH

Tindak tanduk parti-parti pembangkang memainkan isu perkauman bagi menarik sokongan rakyat lebih didorong oleh ketiadaan isu besar untuk memburukkan kerajaan yang diterajui Pakatan Harapan (PH).

Ketua Penerangan Amanah, Khalid Samad berkata, setelah membentuk kerajaan di peringkat pusat, kerajaan Pakatan Harapan berusaha untuk memperbaiki kerosakan yang ditinggalkan kerajaan terdahulu.

Kerajaan yang dibentuk Pakatan Harapan, ujarnya bebas daripada unsur rasuah dan penyelewengan dan ini menyukarkan parti pembangkang sehingga memaksa mereka memainkan sentimen kaum dan agama.

Berucap dalam program ceramah kelompok dan makan tengahari di Kampung Penerok, dekat sini, semalam, Khalid menyangkal tuduhan parti pembangkang yang mendakwa kononnya kerajaan PH kini dikuasai DAP.

“DAP hanya ada 42 kerusi parlimen daripada 136 kerusi parlimen PH (termasuk Warisan). Bagaimana parti itu boleh kuasai kerajaan?” katanya.

Dewan Rakyat mempunyai 222 kerusi dengan selebihnya diwakili BN, Pas, Bebas dan Parti Gabungan Sarawak.

Menurut beliau, daripada 25 menteri kabinet, hanya enam daripada DAP manakala jawatan utama seperti Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Menteri Pertahanan dan Menteri Dalam Negeri disandang oleh orang Melayu.

Menjawab soalan hadirin, beliau berkata, walaupun Menteri Kewangan dipegang oleh Lim Guan Eng (DAP), segala keputusan berhubung kewangan negara dibincangkan dalam kabinet.

Malah tambah beliau, BN pernah melantik Menteri Kewangan berbangsa Cina iaitu Tun Tan Siew Sin.

Khalid yang juga Menteri Wilayah Persekutuan menegaskan bahawa kerajaan PH komited untuk memenuhi janji manifesto pilihan raya namun banyak kekangan dan masalah kewangan negara diwarisi daripada pentadbiran terdahulu.

PH tambah beliau, tidak pernah beralah untuk melaksanakan janji-janji kepada rakyat namun memerlukan masa untuk melaksanakannya secara berperingkat.

Tumpuan utama dalam tahun pertama pentadbiran PH, ujarnya adalah memperbaiki kerosakan yang ditinggalkan pentadbiran BN terutamanya berkenaan hutang negara.

Bagaimanapun tambah beliau, keadaan selepas satu setengah tahun kini lebih baik dan ia dapat dilihat daripada pembentangan bajet 2020 berbanding bajet 2019.

“Peruntukan untuk pertanian, pendidikan, kesihatan, agama dan lain-lain bertambah,” katanya.

Menurutnya, walaupun wujud kelemahan kerana baru pertama kali membentuk kerajaan, namun para pemimpin PH tidak terlibat dalam rasuah dan penyelewengan kuasa.

Oleh itu beliau menyeru para pengundi agar mengundi calon PH dalam pilihan raya kecil (PRK) Tanjung Piai 16 November ini bavi meneruskan agenda pembangunan di kawasan itu.

“Calon PH juga orang beragama, orang masjid dan orang tempatan,” katanya.

Malah tambah beliau, kemenangan calon PH di Tanjung Piai memberi isyarat bahawa rakyat negara ini mahukan pentadbiran yang bersih dari rasuah dan penyelewengan.

Sebaliknya ujar beliau, jika calon BN terpilih, rakyat dilihat tidak mahukan perubahan ke arah yang lebih baik.