Malaysia Dateline

teresa kok

Kok gesa banyakkan R&D mengenai batang kelapa sawit

Kementerian Industri Utama menggesa lebih banyak penyelidikan dan pembangunan (R&D) dijalankan mengenai Batang Kelapa Sawit (OPT) sebagai bahan alternatif untuk pengeluaran papan lapis.

Menterinya, Teresa Kok, berkata kira-kira 22.3 juta meter kubik OPT tersedia setiap tahun di negara ini.

“Terdapat bahan alternatif untuk pengeluaran papan lapis yang dibangunkan melalui kerjasama agensi di bawah Kementerian Industri Utama, iaitu Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) dan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), juga agensi lain seperti Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM).

“Saya ingin menyaksikan lebih banyak R&D terhadap produk hiliran OPT dijalankan oleh organisasi penyelidikan,” katanya pada majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Persatuan Pengeluar Produk Panel Malaysia (MPMA) dan Dewan Perniagaan Produk Panel Linyi China, di sini, hari ini.

Kok juga menjemput dewan perniagaan berkenaan menjadi sebahagian daripada usaha penyelidikan terhadap papan lapis OPT.

“Saya mengalu-alukan inisiatif yang dipacu sektor swasta ini dalam mengukuhkan kerjasama perniagaan dua hala antara Malaysia dan China,” katanya.

Kok berkata, eksport kayu dan produk kayu mencecah RM14.57 bilion, dengan eksport panel berasaskan kayu berjumlah 30 peratus atau RM4.35 bilion sehingga Ogos tahun ini.

“Industri berasaskan kayu menyediakan pekerjaan kepada kira-kira 300,000 orang di negara ini,” katanya.

Kok menambah bahawa, China adalah pengimport keenam terbesar produk kayu Malaysia bernilai RM1.12 bilion tahun lepas, peningkatan 31.9 peratus berbanding tahun 2016.

“Sehingga Ogos tahun ini, jumlah eksport kayu dan produk kayu dari Malaysia ke China adalah RM729.6 juta, peningkatan 2.4 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas,” katanya.

Kok kemudiannya menyaksikan tandatangan perjanjian kerjasama antara MPMA dan Dewan Perniagaan Produk Panel Linyi China berhubung perkongsian maklumat teknikal dan perniagaan untuk mempromosikan industri panel di Malaysia dan China.

Turut hadir, Pengerusi MPMA, Datuk Wira Sheikh Othman Rahman dan Presiden Dewan Perniagaan Produk Panel Linyi China, Wang Xiyin.

–BERNAMA