Malaysia Dateline

Koleksi bola antarabangsa tarikan pelancongan baharu di Port Dickson

Pameran Koleksi Bola Antarabangsa akan dijadikan sebagai produk pelancongan baharu di Port Dickson bagi menarik lebih ramai pelancong dari dalam dan luar negeri datang  ke pusat peranginan tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Belia dan Sukan Negeri Sembilan Mohamad Taufek Abd Ghani berkata pameran yang bakal diadakan selewat-lewatnya hujung tahun ini, dijangka  memberi pengalaman yang unik kepada pengunjung di sini kerana selama ini Port Dickson terkenal dengan aktiviti-aktiviti pantai dan sukan air.

“Kita cuba jadikan Port Dickson ada satu tarikan yang lebih menarik selain daripada yang ada sekarang,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pameran Koleksi Bola Antarabangsa anjuran Amal Relief Malaysia di sini, hari ini.

Beliau berkata pihaknya juga akan berbincang dengan Majlis Perbandaran Port Dickson untuk mewujudkan satu muzium bertujuan menyimpan koleksi berkenaan bagi tatapan umum pada masa akan datang.

“Kita bercadang mengadakan muzium bagi mengumpulkan semua koleksi tersebut untuk penggemar bola sepak dari seluruh negara melihat secara dekat koleksi berkenaan,” katanya.

— BERNAMA