Malaysia Dateline

Kolisi Raksasa: Pastikan komponen parti setaraf dan bersifat rakan setara

Angkatan Wanita AMANAH Nasional (AWAN), Anis Afida Azli menyenaraikan beberapa cabaran penting yang perlu diselesaikan segera demi mencapai satu kolisi raksasa antara Pakatan Harapan (PH) Plus.

Beliau berkata, AMANAH perlu mengembalikan naratif politik bahawa kolisi berkenaan kelak akan menjunjung tinggi prinsip keadilan dengan meletakkan semua parti komponen setaraf dan bersifat rakan setara.

Malah katanya, kerjasama politik AMANAH perlu melangkaui politik elit yang menjaga kepentingan elit untuk mengekalkan pengaruh dan kuasa.

“Kepimpinan perlu memastikan bahawa tidak akan ada yang boleh dipijak dan tidak ada yang boleh memijak. Tidak ada abang besar dalam ‘Grand Coalition’.

“Letakkan asas persetujuan bersama atau konsensus di mana tidak hanya satu sahaja yang dominan dalam membuat keputusan,” katanya ketika membahas ucapan Presiden sempena Konvensyen AMANAH Nasional hari ini.

Pada masa sama kata Anis, untuk menjayakan koalisi raksasa antara PH Plus, AMANAH perlu berbincang dengan serius dan merangka semula manifesto bersama termasuk agihan kerusi antara komponen parti.

Tambahnya, parti juga perlu menampilkan saf kepimpinan yang bebas dari rasuah, salah guna kuasa dan pengkhianatan terhadap mandat rakyat.

Beliau turut menegaskan bahawa kolisi raksasa tidak boleh sama sekali membelakangkan kepentingan dan suara rakyat yang menurutnya penting untuk meraih semula keyakinan rakyat kepada AMANAH.

“AWAN juga menggesa agar diwujudkan sebuah Jawatankuasa khas PH plus yang menumpu khusus kepada gerak kerja dan strategi parti,” tegasnya.

Mengulas lanjut, Anis menyifatkan kemenangan dalam pilihanraya tidak boleh dicapai secara sendirian, lebih-lebih lagi kemenangan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang lalu telah menggunakan strategi menambah kawan dan mengurangkan musuh.

Justeru katanya, tiada pilihan lain selain memperkukuhkan PH dan menambah rakan yang mempunyai persamaan dalam prinsip perjuangan