Kombinasi dua generasi majukan Selangor, sejahterakan negara

Pemuda AMANAH Selangor mengucapkan syabas dan tahniah kepada YB Amirudin Shaari di atas pelantikan beliau sebagai Menteri Besar Selangor yang baru.

Pengalaman beliau selama dua penggal sebagai Adun dan satu penggal sebagai Exco kerajaan negeri memberi kelebihan kepada beliau untuk menjawat jawatan Menteri Besar yang baru.

Satu penghargaan kepada orang muda dan juga kepercayaan yang tinggi di atas keupayaan orang muda mengemudi negeri Selangor yang kita semua maklum tidak pernah sunyi dengan pelbagai isu dan menjadi tumpuan seluruh negara.

Masanya sudah tiba orang muda diberi kepercayaan memimpin. Saya menaruh kepercayaan kepada beliau berdasarkan pengalaman dan kerja kuat YB Amiruddin sebelum ini.

Beliau juga bertuah kerana akan bekerja dengan barisan Exco yang hebat. Rata-rata barisan Exco Selangor sekarang sangat berpengalaman dan mempunyai idea yang banyak untuk meneruskan kecemerlangan negeri Selangor.

Banyak lagi kerajaan Pakatan Harapan Selangor boleh lakukan dan apabila orang muda seperti YB Amirudin Shaari memimpin pasukan ini, segala perancangan akan berjalan dengan baik.

Banyak negara maju telah memberi kepercayaan kepada orang muda untuk memimpin, dan sebagai negeri termaju di Malaysia, Selangor telah merintis langkah tersebut.

Saya melihat kombinasi antara dua generasi dalam pasukan kerajaan negeri Selangor ini akan membawa Selangor terus maju. Satu dimensi baru yang mewarnai landskap politik negara apabila orang muda memimpin negeri maju seperti negeri Selangor ini.

Menteri Besar baharu Selangor bergambar dengan Sultan Selangor dan bekas MB, Datuk Seri Azmin Ali.

Pemuda AMANAH Selangor akan bersama-sama pentadbiran baru negeri yang diketuai oleh YB Amiruddin Shaari demi meneruskan agenda rakyat meneruskan kecemerlangan negeri selangor.

Pakatan Harapan yang telah berjaya membentuk kerajaan Persekutuan dan beberapa kerajaan negeri atas kepercayaan rakyat pada PRU-14 yang lalu perlu fokus kepada membina semula negara.

Kerosakan yang ditinggalkan kerajaan BN dahulu amatlah teruk dan memerlukan tumpuan, masa dan kerja kuat untuk memulihkan semula negara.

Pimpinan PH perlu selalu mendengar maklum balas dari rakyat dan menjadikan suara rakyat satu keutamaan selagi mana ia tidak bercanggah dengan dasar dan Perlembagaan negara.

Rakyat juga perlu memberi ruang dan masa yang luas kepada pimpinan PH untuk membuat perubahan kepada negara. Berilah kritikan yang membina kepada pemimpin kita serta bersama-sama memberi khidmat dan bakti kepada negara yang kita sama-sama cintai.

Saya berkeyakinan dengan pimpinan kerajaan yang ada pada hari ini, cita-cita rakyat yang mahu melihat Malaysia lebih maju, harmoni dan berintegriti akan direalisasikan di bawah pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan.

Masa akan menentukan segala galanya.

* Penulis merupakan Ketua Pemuda AMANAH Selangor.

COMMENTS

Wordpress (0)