Komen laman rasmi kementerian tentang harga minyak undang kemarahan ramai

Pengguna Facebook hari ini berang dengan kenyataan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menerusi status yang dimuat naik di media sosial berhubung penurunan harga petrol dan diesel.

Menerusi ‘KPDNKK-Laman Rasmi’, pentadbirnya menganggap perubahan harga bahan api terbabit sebagai “perangai biasa harga petrol” serta yakin rakyat Malaysia bersyukur dengan harga terbaharu.

“Ada masa IA (harga petrol) naik…ada masa IA turun, ada masa IA kekal.

“Naik, turun dan kekal perangai biasa harga petrol. Ape boleh buat, sebab harga jual petrol ikut tekanan pasaran dunia,” dipetik daripada laman itu dengan penggunaan huruf besar dan ejaan yang menyalahi tatabahasa.

Kenyataan pada jam 10.45 malam tadi itu kemudiannya mengundang banyak kecaman dan sindiran pengguna Facebook dengan lebih 500 reaksi dan komentar setakat jam 11 pagi ini.

Menurut pentadbir KPDNKK-Laman Rasmi, kerajaan tetap prihatin dengan kesejahteraan rakyatnya melalui pelbagai inisiatif meliputi pendidikan, peruncitan, kesihatan, pengangkutan, pemilikan rumah dan perdagangan walaupun berlaku perubahan harga jual petrol.

“Dan…hari ini, tekanan pasaran dunia juga berpihak kepada Malaysia!… , HARI INI HARGA PETROL TURUN!!!. senyuman rakyat dapat diduga terukir.

“Admin percaya! rakyat Malaysia pasti bersyukur dengan perubahan harga minggu ini, KERANA KITA SEHATI SEJIWA DI TANAH TUMPAH DARAH KITA,” ujarnya lagi.

Pada masa sama, status mewakili KPDNKK itu mendedahkan wujud percanggahan logik dalam satu kenyataan yang sama berhubung penetapan harga minyak di pam secara mingguan.

Pada perenggan kedua, harga jual petrol “ikut tekanan pasaran dunia” tetapi seterusnya perenggan keempat dipetik menulis, “tekanan pasaran dunia juga berpihak kepada Malaysia”.

Sehubungan itu, orang ramai rata-ratanya menyelar kenyataan KDPNKK termasuk mempersoal janji kerajaan untuk menurunkan harga minyak.

Antaranya, pengguna Facebook atas nama Shahar Ipoh berpendapat kerajaan cepat-cepat menaikkan harga bahan api sejurus harga minyak dunia naik tetapi hanya menurunkan 8 sen apabila rakyat marah.

“Yang rakyat marah, dalam empat bulan naik 40 sen. Dari 2015 sampai 2016 naik berapa sen? Mana janji kerajaan nak turunkan harga minyak. Alasan minyak dunia mahal tapi masa minyak dunia turun mendadak, minyak kita naik.

“Bila rakyat bersuara sikit, turun 8 sen. Lepas tu cakap pasal syukur,” katanya diikuti cadangan agar semua elaun pengangkutan, makan dan penginapan pegawai atasan di KPDNKK dimansuhkan selama setahun.

Sementara itu, Wardah Fazi menganggap dakwaan pentadbir Facebook itu kononnya kenaikan harga minyak sebagai “ada masa” sebagai tidak tepat sama sekali.

“‘Ada masa IA naik…ada masa IA turun, ada masa IA kekal’? Salah tu! Sepatutnya macam ni “Seringkali IA naik….jarang sekali IA turun….jangan harap IA nak kekal,” sinisnya diikuti antara banyak tanda setuju.

Bagi Mohammad Firdaus pula, beliau menyifatkan segala akaun media sosial Umno-BN dan laman rasmi agensi kerajaan membisu jika harga minyak naik tetapi “pukul kompang keliling kampung” walaupun baharu sekali harga turun.

“Tengoklahlah nanti bila harga naik, habis segala binatang kucing, ayam, ikan laga dan kumbang terbang akan di update di page mereka.

“Sikit tak sentuh hal minyak, maka dengan itu mohon rakyat Malaysia sentiasa beringat, turunnya sekali dua, naiknya berkali-kali. Itu saja nak beritahu,” ujar Firdaus lagi.

9.4
OVERALL SCORE
: 8.0
4 user votes x 9.8
CATEGORIES
TAGS