Belanjawan Madani 2023 telah dibentang semula oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Menteri Kewangan dengan bertemakan ‘Membangunkan Malaysia Madani’.
Belanjawan 2023 ini melibatkan peruntukan sebanyak RM388.1 bilion dengan RM289.1 bilion untuk perbelanjaan mengurus, RM99 bilion bagi perbelanjaan pembangunan termasuk RM2 bilion untuk simpanan luar jangka.
Belanjawan ini menumpukan 12 ikhtiar utama berdasarkan tiga tekad iaitu pemacu ekonomi yang inklusif dan mampan, pembaharuan institusi dan tadbir urus untuk mengembalikan keyakinan dan keadilan sosial untuk menyederhanakan kesenjangan.
Ini merupakan belanjawan pertama yang dibentangkan di bawah Kerajaan Perpaduan, Belanjawan 2023 pada asalnya dibentangkan oleh kerajaan terdahulu pada Oktober tahun lepas tetapi tidak diluluskan selepas Parlimen dibubarkan.
Cukai baru diperkenal
Kerajaan mengambil pendekatan progresif dalam konteks percukaian untuk meningkatkan hasil percukaian negara.
Beberapa cukai baru bakal diperkenalkan seperti cukai barangan mewah bermula tahun ini pada kadar tertentu seperti jam tangan mewah, beg tangan dan barangan fesyen gaya hidup.
Bagi membendung tabiat menghisap rokok elektronik, kerajaan bercadang mengenakan duti eksais ke atas produk cecair atau gel mengandungi nikotin yang digunakan untuk rokok elektronik dan vape.
Kerajaan menyedari penjualan cecair vape secara berleluasa sehingga ke tahap mengekspot produk tersebut dengan nilai anggaran lebih RM2bilion.
Kerajaan juga mengkaji perkenal Cukai Keuntungan Modal bagi pelupusan saham tidak tersenarai oleh syarikat mulai 2024.
Untuk tujuan ini, sesi libat urus akan di adakan dengan pihak terbabit seperti Suruhanjaya Syarikat Malaysia, Dewan-dewan perniagaan, Lembaga Hasil Dalam Negeri, badan-badan percukaian seperti Persatuan Akauntan Percukaian Malaysia (MATA) dan badan-badan professional lain dan sebagainya.
Cukai keuntungan keatas keuntungan modal bukan sesuatu yang luarbiasa dalam regim percukaian sesebuah negara.
Ianya juga telah diamalkan dibeberapa negara seperti Hong Kong, Indonesia, Thailand, Filipina, Laos dan Cambodia.
Cukai kepada Perniagaan Mikro Kecil Sederhana dikurangkan
Menyedari kepentingan Perniagaan Mikro Kecil Sederhana (PMKS), kadar cukai ke atas kumpulan ini dikurangkan kepada bagi pendapatan bercukai RM150,000 pertama dikurangkan daripada 17 peratus kepada 15 peratus.
Ini bermakna kadar cukai bagi PMKS mempunyai tiga kadar iaitu bagi pendapatan bercukai sehingga RM150,000 pada kadar 15 peratus, seterusnya RM150,001 – RM600,000 pada kadar 17 peratus dan selebihnya pada kadar 24 peratus.
Ianya akan memberi manfaat kepada 150,000 pembayar cukai PMKS dan memberi penjimatan cukai sekitar RM3,000 sahaja. Jumlah ini agak kecil bagi sesebuah PMKS.
Kerajaan sepatutnya boleh mempertimbangkan memberikan pengurangan bagi pendapatan bercukai sehingga RM600,000 untuk memberi lebih makna penjimatan kepada PKS, terutamanya pada tempoh selepas bangkit dari Pandemik.
Lancar semula program pengakuan sukarela
Langkah Kerajaan Perpaduan melancarkan semula program pengakuan sukarela adalah satu usaha yang boleh dipuji untuk meningkatkan pematuhan kepada regim percukaian negera sam ada Lembaga Hasil Dalam Negeri atau Kastam DiRaja Malaysia.
Tempoh pengampunan pula dipanjangkan bagi Belanjawan kali ini dari 1 Jun 2023 sehingga 31 Disember 2024. Kita dapat melihat kali pertama Program pengakuan sukarela ini dibuat oleh Kerajaan Pakatan Harapan pada Belanjawan 2019 telah memberi impak yang positif kepada pungutan hasil negara.
Pengurangan kadar cukai buat M40
Golongan M40 juga menerima manfaat dari segi pengurangan kadar cukai sebanyak 2% bagi banjaran pendapatan bercukai dari RM35,001 sehingga RM100,000.
Ianya dapat memberi manfaat kepada sekitar 2.4 juta pembayar cukai dengan nilai penjimatan dari RM300 bagi banjaran RM35000 – RM50,000 sehingga RM1,300 bagi banjaran RM70,001-RM100,000.
Sebenarnya, pengurangan kadar cukai ini bukan sahaja memberi manfaat melibatkan golongan M40 tetapi juga mereka di garisan pendapatan T20.
Ini memberikan mereka manfaat, walaupun tidak menerima Bantuan Tunai Rahmah, tetapi mereka mempunyai lebihan pendapatan boleh guna yang akan diterjemahkan dalam peningkatan belanja kepenggunaan dan akan menyumbang kepada merancakkan kitaran ekonomi negara.
Ini satu langkah berani penuh ihsan Kerajaan Perpaduan.
Kadar cukai T20 dinaikkan
Manakala bagi golongan T20, kerajaan akan menaikkan kadar cukai 0.5 peratus sehingga dua peratus dalam julat banjaran pendapatan bercukai RM100,001 sehingga RM1juta.
Hanya sekitar 150,000 pembayar cukai akan terkesan dengan kenaikan ini. Langkah-langkah ini melibatkan akan mengakibatkan kerajaan kekurangan hasil bersih hampir RM1bil.
Kita dapati Belanjawan Madani 2023 yang dibentangkan ini sejajar dengan kerangka Malaysia Madani yang memberikan penekanan aspek membina kemampanan ekonomi bagi mampu mendepani tantangan ekonomi.
Ini termasuk mendepani keadaan ekonomi global yang penuh kecelaruan dan ketidaktentuan serta pada masa yang sama bersikap Ihsan kepada rakyat dengan tekad mensifarkan miskin tegar dan membantu mengurangkan beban percukaian sehingga ke golongan bawah kategori T20.
Baca juga: 27 tahun berlalu, Anwar Ibrahim kembali ke Dewan Rakyat sebagai Menteri Kewangan