Komik BRI: Armada persoal jati diri sebahagian pimpinan DAP

Komik BRI: Armada persoal jati diri sebahagian pimpinan DAP

Exco Biro Pendidikan ARMADA Nasional, Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir membidas sikap akar umbi DAP yang mengkritik keputusan Menteri Pendidikan, Maszlee Malik untuk melarang pengedaran buku komik ‘Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI)’ di sekolah-sekolah.

Tegasnya, tiada masalah untuk Maszlee mengarahkan agar edaran komik tersebut ditarik kembali memandangkan tiada pekeliling berkaitan setelah ada usaha mengedarkannya secara haram.

“Ini bukan soal Pakatan Harapan apatah lagi memenuhi serakah DAP, Namun sebahagian pimpinan DAP yang menyokong Superman Bodoh ini perlu bertanya apakah jati perjuangan mereka?

“Adakah berpegang teguh atas nilai Malaysia itu sendiri dengan jujur atau kiblat mereka adalah bersama Parti Komunis China (CCP)?” tempelaknya dalam satu kenyataan hari ini.

Ashraf berkata, pihaknya berdiri teguh dengan tindakan menteri atas larangan berhubung pengedaran buku komik tersebut di sekolah-sekolah.

“Pendidikan ARMADA juga senada dengan kenyataan Ketua Penerangan ARMADA, Sdr. Ulya Aqamah dan kelantangan Ketua ARMADA Nasional yang menyifatkan tindakan Hew Kuan Yau atau lebih dikenali dengan panggilan ‘Superman’ sebagai ‘Super Stupid Superman’,” ujarnya.

Mengulas desakan 43 pemimpin akar umbi DAP yang membantah pengumuman Dr Maszlee, beliau mengingatkan sebilangan pemimpin DAP bahawa perkara itu tidak pernah diputuskan.

“Maka apabila dipersoalkan samada menteri dilantik PH atau Umno, persoalan itu seharusnya tidak timbul.

“Ini bukan tertakluk perihal politik, ini soal praktik ‘good governance’ yang dipelihara undang-undang sepertimana termaktub dalam Akta Pendidikan 1996; Akta 550 yang menjelaskan pada definisi Sekolah Kerajaan (termasuk SJKC dan SJKT) iaitu “sekolah kerajaan” atau “institusi pendidikan kerajaan” ertinya sekolah atau institusi pendidikan yang ditubuhkan dan disenggarakan sepenuhnya oleh Menteri di bawah ’Bahagian IV’ (bererti sepenuh kuasa atas sistem pendidikan kebangsaan adalah di bawah kuasa menteri)” jelasnya.

Ashraf berpendapat sekatan tersebut bertepatan ditambah lagi komik itu tidak pernah lulus untuk menepati syarat bahan pendidikan selaku silibus sebagai materi rujukan kepada pelajar.

“Ditambah lagi apa yang dicoretkan dalam komik ‘Superman Bodoh’ itu langsung tidak melalui proses pengabsahan secara ilmiah dari sudut sejarah dan kajian sosial.

“Ianya tambah tidak menyenangkan apabila kelihatan jelas mempunyai agenda memahat iltizam ‘Jalur Merah’ dari China melalui faham politik.

“Lebih menjijikkan apabila komik tersebut mengherdik empati umat Islam di Malaysia ke atas saudaranya dari etnik Uighur yang ditindas atas kezaliman rejim Komunis China! Nyata langkah Hew Kuan Yau ini mencerminkan nilai rasisme dan bertentangan dengan tekad Perlembagaan dan Rukun Negara,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menegaskan sebilangan pimpinan DAP perlu menjaga rukun kebersamaan dan kepatuhan nilai atas teras serta semangat Malaysia yang tidak bercanggah dengan Perlembagaan pusaka tercinta kita.

“Semestinya tanggungjawab Menteri Pendidikan mengekang penularan komik yang penuh dengan niat jahat dan tidak ilmiah ini,” tempelaknya.