Malaysia Dateline

Komik kontroversi: pakar sejarah serah hasil kajian esok

Seorang pakar sejarah dari universiti tempatan akan menyerahkan hasil penyelidikan berhubung fakta kandungan komik kontroversi ‘Inisiatif Jalur & Jalan Meraih Manfaat Bersama’ kepada polis esok.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendakwaan dan Undang-Undang (D5) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, SAC Mior Faridalathrash Wahid berkata pihaknya akan berjumpa dengan pakar sejarah berkenaan di pejabatnya, namun enggan mendedahkan identiti pakar tersebut.

“Kita akan menerima laporan hasil penyelidikan beliau dan pada masa yang sama, akan merekodkan keterangan daripadanya pagi esok,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Tambah beliau, sehingga 7 Nov lepas, sebanyak 67 laporan berhubung komik tersebut telah diterima polis di seluruh negara.

Selain itu, katanya siasatan terhadap kes berkenaan juga hampir selesai dan keterangan daripada penulis, pelukis, penerbit buku serta pihak Perpustakaan Negara Malaysia dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah diambil.

KDN dilaporkan telah merampas lebih 2,000 naskah komik berkenaan yang sebelum ini telah diwartakan perintah larangan termasuk versi bahasa Inggeris dan Cina kerana dipercayai antara lain cuba mempromosikan ideologi komunisme dan sosialisme.

— BERNAMA