Malaysia Dateline

Komik propaganda: Pimpinan DAP digesa disiplinkan ahli hormati keputusan kerajaan

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik menggesa pimpinan DAP untuk mendisiplinkan ahli-ahli mereka agar menghormati keputusan kerajaan dan patuh terhadap perlembagaan dan undang-undang negara.

Justeru itu, beliau menasihatkan mana-mana ahli DAP yang tidak berpuas hati dengan keputusan kerajaan agar kembali mematuhi semangat ‘rule of law’ dan juga ‘collective responsibility’.

“Tindakan merendah-rendahkan parti komponen lain seperti yang dilakukan oleh Saudara Ronnie Liu ialah tindakan yang biadab dan sangat tidak berasas.

“Budaya politik murahan begini hanya akan merosakkan keadaan. Ia membawa lebih banyak perpecahan malah membantutkan agenda reformasi yang sedang kita laksanakan.

“Semua sekolah yang telah menerima komik tersebut telah diarahkan untuk tidak disebarluaskan. KPM tidak akan sesekali berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba mempergunakan sekolah sebagai alat propaganda murahan.

“Saya juga telah mengarahkan KPM untuk menyiasat segera jika terdapat mana-mana individu termasuk anggota dalaman yang bertanggungjawab membenarkan komik ini diedarkan di sekolah.

“KPM akan memastikan siapa sahaja jika terbukti benar dakwaan ini akan diberi tindakan tegas,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.