Malaysia Dateline

Komik propaganda: Ummah gesa KPM tarik balik, buang dan bakar

Mohd Nur Izzat Mohd Johari

Gerakan Pembela Ummah (Ummah) menggesa pihak Kementerian Pendidikan (KPM) supaya menarik balik, membuang seterusnya membakar komik propaganda yang kini menjadi kontroversi di negara ini.

Sekretariat Ummah, Mohd Nor Izzat Mohd Johari menegaskan, penerbitan dan pengedaran komik ‘Inisiatif Jalur dan Jalan Meraih Manfaat Bersama’ itu tidak boleh dibiarkan begitu sahaja.

“Kita harus bertegas dalam isu ini dan jangan hanya menafikan. Menteri Pendidikan (Dr Maszlee Malik) juga sudah mengeluarkan kenyataan bahawa tidak membenarkan pengedaran komik tersebut ke mana-mana institusi pendidikan di seluruh negara.

“Tetapi buku itu ada di sekolah dan sekarang ini tindakannya adalah, kalau boleh pihak sekolah di Pulau Pinang rampas dan bakar komik tersebut.

“Kami menyarankan pihak KPM mengeluarkan satu surat pekeliling dan menarik semula semua buku yang mempunyai doktrin tentang komunis. Dalam komik itu juga jelas mengatakan Lim Kit Siang adalah hero dalam negara.

“Jadi, tolong rampas dan bakar serta-merta komik itu. Tindakan itu perlu dibuat dalam tempoh 24 jam, kalau tiada sebarang tindakan diambil, kita pula akan buat tindakan susulan,” tegasnya dalam sidang media di pejabat Ummah, hari ini.

Mohd Nor Izzat atau lebih dikenali sebagai Cikgu Izzat berharap, institusi pendidikan seperti sekolah-sekolah tidak dijadikan sebagai medan politik yang kotor.

“Yang paling teruk adalah mengatakan komunis itu hero. Ini perkara yang memang sangat serius,” ujarnya lagi.

Sementara itu, Pengerusi Ummah, Aminuddin Yahaya berkata, pihaknya tidak akan teragak-agak untuk membuat laporan polis sekiranya tiada sebarang tindakan diambil mengenai isu berkenaan.

“Kalau perlu, kita akan berbincang dengan peguam kita seterusnya membuat laporan polis. Kita juga akan terus mendesak kerajaan supaya mengambil tindakan dalam isu ini,” katanya.

Memetik laporan media tempatan pada Ahad lalu, Dr Maszlee mempertahankan keputusan kementeriannya untuk tidak membenarkan pengedaran komik ‘Inisiatif Jalur dan Jalan Meraih Manfaat Bersama’ ke mana-mana institusi pendidikan di seluruh negara selepas didakwa mengandungi unsur propaganda politik.

Dr Maszlee menegaskan tindakan itu adalah bersandarkan kepada undang-undang, malah keputusan berkenaan juga dibuat atas nasihat Kementerian Dalam Negeri (KDN).

“Negara kita memiliki undang-undang yang perlu dihormati dan dipatuhi. Ini merangkumi semua bahan bercetak, termasuk buku atau komik politik mahupun bahan propaganda yang jika mahu diedarkan, apatah lagi ke sekolah, ia perlu mengikut peraturan.

“Semua bahan bercetak tertakluk pada undang-undang percetakan (Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984). Kita bertindak atas landasan undang-undang dan dalam apa saja tindakan dibuat, kita perlu merujuk kepada pihak KDN,” katanya.

Dr Maszlee yang juga Ahli Parlimen Simpang Renggam berkata demikian selepas merasmikan Program Jom Sekolah 2020 Yayasan Harapan Pontian di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Teluk Kerang, Tanjung Piai, pada Ahad.