Malaysia Dateline

Komitmen murni pihak bertelagah diperlukan ringan beban penderitaan rakyat Afghanistan – ICRC

Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC) menyeru diberikan sokongan untuk menjalankan kerja-kerja kemanusiaan bagi mengurangkan penderitaan rakyat yang terjejas akibat konflik di Afghanistan.

Presiden ICRC, Peter Maurer berkata dalam satu pertemuan dengan Presiden Afghanistan Ashraf Ghani, perbincangan tertumpu mengenai inisiatif kemanusiaan yang mampu memberikan lebih kesan positif kepada penduduk di negara bergolak itu.

“Perlu ada ada komitmen murni daripada semua pihak, bukan dengan menyerang orang awam, termasuk pekerja kesihatan.

“Apa pun kami tetap menaruh harapan untuk melihat penderitaan rakyat di Afghanistan berkurangan, (sayangnya) impian itu masih jauh,” katanya dalam satu kenyataan di sini Khamis.

Maurer berkata serangan bertalu-talu dan peningkatan jumlah mangsa cedera menyebabkan moral rakyat semakin pudar.

“Selama lapan tahun berturut-turut menyaksikan jumlah kematian orang awam terus bertambah dengan rekod dicatatkan pada tahun ini seramai 1,669 untuk tempoh enam bulan pertama,” katanya.

Maurer berkata konflik yang belarutan berdekad lamanya itu dilihat semakin memburuk  dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini dan amat membimbangkan apabila operasi ketenteraan dijalankan berhampiran kawasan penempatan penduduk.

“Serangan ke atas petugas dan kemudahan kesihatan juga meningkat, 54 orang terbunuh pada separuh pertama tahun ini, ia turut mendorong peningkatan penyakit diarea, polio, campak dan kekurangan zat makanan.

“Masalah kelaparan bertambah serius menjejaskan lebih 3.4 juta orang dan perniagaan serta pendidikan turut terjejas.

“Mangsa yang cedera sukar mendapatkan rawatan kerana klinik berdekatan ditutup, jika ada pun ia terlalu jauh, berbahaya atau mahal,” katanya.

— BERNAMA