Malaysia Dateline

Komitmen PH sokong usul percaya bakal beri ruang PM lantik Kabinet terbaik

Ketua penyelidik Ilham Centre, Dr Mohd Yusri Ibrahim yakin bahawa komitmen Pakatan Harapan (PH) yang tidak akan menyulitkan usul undi percaya di Dewan Rakyat nanti akan memberi lebih banyak ruang kepada Perdana Menteri memilih Kabinet yang terbaik.

Beliau berkata, Datuk Seri Ismail Sabri dengan ini boleh melantik ahli Jemaah Menteri tanpa tekanan mana-mana pihak yang mungkin akan menarik sokongan jika tidak berpuas hati dengan keputusan tersebut.

“Ini kerana jika ada antara 113 Ahli Parlimen yang menyokong beliau sebelum ini menarik sokongan jika tidak berpuas hati dengan pemilihan jemaah menteri, pembangkang masih boleh membantu untuk luluskan usul tersebut dan mengekalkan kedudukan PM.

“Inilah politik damai, untuk meredakan sekejap kehangatan politik bagi memberi ruang semaksimum mungkin menangani pandemik Covid-19 dan kelesuan ekonomi,” katanya dalam satu ulasan di Facebooknya malam tadi.

Mohd Yusri berkata, persefahaman ini mengesahkan bahawa dalam politik kontemporari, tidak perlu ‘No Anwar No DAP’, tetapi tidak bermaksud perlu ‘Yes Anwar dan Yes DAP’ juga.

Sebaliknya beliau menegaskan, apa yang rakyat dan negara perlukan adalah politik damai dan politik matang.

Pada semalam, pembangkang menyatakan kesediaan mereka memberi sokongan kepada Ismail Sabri dalam usul undi percaya dan tidak akan menentangnya di Dewan Rakyat.

Bagaimanapun, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sokongan itu akan diberikan sekiranya dasar dan program dilaksanakan Perdana Menteri itu pro rakyat dan mampu menyelesaikan isu pandemik COVID-19.

“Kita beritahu, kalau suasana begini dan program-program adalah pro-rakyat, kita tidak mahu sulitkan,” katanya kepada pemberita selepas bertemu Ismail di Pejabat Perdana Menteri semalam.