Malaysia Dateline

Kompaun RM10,000: DAP sedia bela rakyat

Biro Undang-undang DAP bersedia untuk mengkaji cara membela rakyat berikutan pelaksanaan kenaikan hukuman melanggar SOP yang berkuatkuasa pada 11 Mac ini,

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata, hukuman yang bakal dikenakan tidak ada lagi keperluan untuk waran dan perlu melihat bagaimana DAP dapat menyelamatkan rakyat Malaysia dari masalah kewangan.

“Kajian tersebut juga termasuk membela rakyat yang menerima kompaun tersebut di mahkamah,” katanya.

Kajian ini akan diketuai Biro Undang-Undang DAP dan Ahli Parlimen Bukit Gelugor Ramkarpal serta Ahli Parlimen Bruas Ngeh Koo Ham.

Kerajaan PN telah menerapkan pendekatan menghukum dengan menaikkan denda kompaun dari RM1,000 kepada RM10,000 untuk individu, dan kepada RM50,000 untuk syarikat, di bawah pindaan darurat pada Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Guan Eng berkata, kerajaan harus mendidik masyarakat untuk bekerjasama bagi membendung COVID-19 dengan pendekatan mendidik tetapi kerajaan memilih untuk menggunakan pendekatan retributif atau menghukum terhadap mereka yang melanggar PKP.

“Ini adalah langkah salah kerana pendekatan menghukum tidak berkesan untuk membendung peningkatan kes COVID-19 tetapi akan menyebabkan masalah kewangan kepada mereka yang melanggar, terutama yang datang dari kumpulan berpendapatan rendah yang sudah menderita dari kemelesetan ekonomi sekarang.

“Penguatkuasaan undang-undang yang adil dan saksama, dan bukannya amalan dua darjat antara seorang Menteri dan rakyat akan lebih membantu mengurangkan jumlah kes COVID-19.

“Pelaksanaan penuh 3T – saringan, pengesanan semua kontak rapat pesakit positif COVID-19 dan rawatan diperlukan,” kata beliau.

Katanya, kadar denda kompaun pada masa ini sudah mencukupi untuk memberi mesej supaya mematuhi SOP dengan tegas.

“Tidak perlu memaksa rakyat sehingga menjurus kepada masalah kewangan apabila hukuman tersebut sepatutnya ditetapkan bukan berdasarkan pada golongan kaya tetapi pada kemampuan golongan miskin untuk membayarnya,” ujarnya.

Tambahnya, Kerajaan PN boleh dianggap menyalahkan rakyat atas peningkatan kes COVID-19 baru-baru ini yang menjadikan Malaysia sebagai negara terburuk terkesan di ASEAN, walaupun sebab sebenarnya adalah atas kegagalan, teladan buruk kepimpinan dan salah urus oleh para Menteri PN.