Malaysia Dateline

Kompaun RM10,000: PN mangsakan rakyat dengan SOP cacamarba, dua darjat

Nilai RM10,000 bagi kompaun maksimum individu adalah keterlaluan dan amat menekan rakyat bagi kesalahan melanggar SOP termasuk tidak memakai pelitup muka atau gagal mematuhi penjarakan fizikal.

Menurut Setiausaha Angkatan Wanita AMANAH Nasional (AWAN) Soraya Salim tindakan menaikkan nilai kompaun ini juga dilihat tidak adil ke atas rakyat biasa sementara para VIP dan ahli politik PN sendiri berkali-kali terlepas daripada penguatkuasaan kompaun akibat pelanggaran SOP

“Kami membantah keras tindakan pentadbiran Perikatan Nasional (PN) menggunakan kuasa darurat untuk meningkatkan jumlah kompaun dan mengenakan hukuman lebih tegas kepada individu yang melanggar sekatan perintah kawalan pergerakan (PKP),”katanya.

Katanya, penguatkuasaan undang-undang bersifat ‘dua darjat’ ini, ditambah pula dengan SOP yang caca marba, sering bertukar-tukar dan tidak jelas, bukan sahaja mengelirukan rakyat.

“Apakah jaminan kerajaan bahawa pindaan kompaun ini akan dapat dikuatkuasakan dengan saksama ke atas semua pihak yang melanggar SOP tanpa perkiraan politik, darjat atau pangkat?

“Sejauh manakah peningkatan jumlah kompaun serta tindakan tegas ini mampu mengekang penularan wabak, di saat langkah-langkah pencegahan lain seperti saringan massa tidak dilaksanakan dengan sewajarnya,” soal beliau.

Beliau juga melahirkan rasa bimbang pindaan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) ini yang membolehkan pegawai diberikan kuasa penyiasatan akan mencetuskan kemungkinan penyalahgunaan kuasa dan prosedur kerana waran tangkap tidak diperlukan bagi pegawai membuat tangkapan.

Justeru katanya, Kerajaan PN seharusnya dipertanggungjawabkan yang membuat keputusan-keputusan bermotif politik, pelanggaran SOP mahupun SOP-SOP yang ‘mesra ahli politik PN’ sekaligus menyebabkan pertambahan bilangan kes.

“Bukannya menghukum rakyat dengan mengenakan kompaun yang tinggi.

“Kami menggesa moratorium dilaksana serta-merta berikutan pelaksanaan kompaun maksimum RM10,000 (individu) dan RM50,000 (syarikat) yang akan mula berkuatkuasa 11 Mac 2021,” katanya.

Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) yang diwartakan semalam, antara lain menetapkan kompaun untuk kesalahan di bawah Akta itu dinaikkan daripada RM1,000 kepada RM10,000 untuk individu dan RM50,000 bagi syarikat, berbanding kompaun maksimum RM1,000 sebelum ini.