Malaysia Dateline

Kompaun RM50,000 peniaga burger: ‘Jangan bayar, kita lawan’

Peguam Zulhazmi Shariff berpendapat peniaga burger, Wan Mohd Faisal Wan Kadir di Kota Bharu yang dikenakan kompaun RM50,000 oleh polis tidak perlu membayar jumlah tersebut.

Beliau yang juga Naib Pengerusi DAP Kedah, bahkan bersedia menawarkan khidmat guaman percuma kepada Wan Mohd Faisal, 38, jika berada di ibu negeri Kelantan itu.

“Kalau saya ada di Kota Bharu, saya akan tawarkan khidmat guaman percuma kepada peniaga tersebut. Jangan bayar, kita lawan.

“Walaupun kita rakyat biasa yang tiada jawatan, pangkat dan darjat tapi darjat kita amat tinggi dan utama kepada keluarga kerana kitalah satu-satunya pencari nafkah dalam keluarga,” tegasnya di Facebook beliau malam ini.

Dalam masa sama, Zulhazmi menjelaskan kadar maksimum kompaun terbabit hanya RM10,000 orang persendirian.

“Jika persendirian, maka notis kompaun tersebut salah dan boleh terbatal kerana kadar kompaun RM50,000 itu adalah untuk pertubuhan atau syarikat,” katanya.

Malah, tambahnya, kadar kompaun jika diturunkan kepada RM10,000 sekali pun hanya nilai tawaran maksimum.

“Jumlah kompaun boleh diturunkan atas budi bicara kerana kompaun itu pun sekadar budi bicara bukan hukuman,” ujarnya lagi.

Semalam, Wan Mohd Faisal didatangi beberapa anggota polis ketika sedang menyiapkan pesanan pelanggan yang merupakan golongan pekerja kilang di Kampung Rambutan Rendang, Kota Bharu.

Beliau kemudiannya dikenakan kompaun sebanyak RM50,000 atas kesalahan berniaga melebihi had masa dalam tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP).

Dalam kejadian kira-kira jam 11.10 malam itu, tiada seorang pelanggan pun di gerai yang terletak di hadapan rumahnya selain meja juga tidak dibuka.