Kompetensi, Integriti asas penyusunan jentera kerajaan baharu Pakatan Harapan

Kompetensi, Integriti asas penyusunan jentera kerajaan baharu Pakatan Harapan

Kerajaan baharu Pakatan Harapan (PH) tetap berpegang pada janji untuk menyusun sebuah jentera kerajaan baharu berasaskan kompetensi dan integriti setiap anggotanya.

Wakil kerajaan Persekutuan, Dr Mohd Sharani Mohd Naim berkata demikian di majlis penyampaian Bantuan Awal Persekolahan (BAP) di Sekolah Keb Bunut Susu Pasir Mas semalam.

“Konsep kompetensi dan integriti selaras dengan ajaran Islam yang mensyaratkan para pemikul amanah dari kalangan mereka yang mempunyai kepakaran(qawiy) dan integriti (amin).

” Inilah tonggak terpenting sebuah pentadbiran berteraskan Rahmatan Lil ‘Alamin”, katanya.

Menurutnya kita perlu mensyukuri nikmat pemberian Allah.

“Nikmat Allah sangat banyak sehingga tidak terhitung.

” Hendaklah kita menjadi orang yang bersyukur. Jika bersyukur Allah akan tambah, tetapi jika tidak, maka azab Allah sangat pedih.” katanya.

Gagasan Lil Alamin katanya adalah kerahmatan Islam menyeluruh kepada seluruh makhluk.

“Sama ada makhluk itu berakal atau tidak, semua dapat menikmati Rahmat Islam, termasuk juga makhluk berakal tapi tidak beriman (bukan Islam) pun dapat merasainya,” kata beliau yang juga merupakan Pengerusi PH Parlimen Pasir Mas.

Menurutnya PH akan sentiasa bekerjasama dengan semua pihak, khususnya yang melibatkan bidang pendidikan untuk terus membina generasi anak-anak muda menjadi generasi mulia, berakhlak tinggi demi masa depan negara.

Seramai 375 orang pelajar sekolah berkenaan menerima bantuan tersebut.

Majlis itu turut dihadiri oleh Guru Besar Kamarudin Yahya, Ketua Wanita PH Pasir Mas Dr. Rohani Ismail dan Setiausaha PH Parlimen Pasir Mas Zulkifli Apandi Abdul Halim.