Kompleks KKMM Labuan bernilai RM9.5 juta kini siap sepenuhnya

Kompleks KKMM Labuan bernilai RM9.5 juta kini siap sepenuhnya

Kompleks Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) Labuan yang bernilai RM9.5 juta kini telah siap sepenuhnya dan boleh diduduki bila-bila masa.

Kompleks yang dibina di tanah seluas 0.4789 hektar (4,789 meter persegi) di Jalan Tanjung Taras berhampiran pusat bandar di sini, mula dibina pada 11 Julai 2016 bakal menempatkan pejabat operasi agensi-agensi kementerian iaitu Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Labuan, Jabatan Penerangan Labuan dan Radio Televisyen Malaysia (RTM) Labuan.

Pengarah Kanan Cawangan Kerja Bangunan Am 1 Jabatan Kerja Raya (JKR), Datuk Ir Muhammad Azman Jamrus berkata projek bangunan dua tingkat ini pada mulanya dianggarkan menelan belanja RM10.5 juta tetapi disebabkan beberapa langkah penjimatan yang efektif, kos projek itu dapat dikurangkan.

“Projek ini yang dilaksanakan oleh Projadi Sdn Bhd mencapai 64 peratus daripada Qlassic point (pengukuran Sistem Penilaian Kualiti untuk Kerja Pembinaan Bangunan), yang berdasarkan Standard Industri Pembinaan (CIS 7) oleh Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB).

“Kami mengucapkan tahniah kepada JKR Labuan dan kontraktor yang menyempurnakan projek ini walaupun menghadapi pelbagai cabaran seperti isu pembiayaan dan bahan binaan daripada luar Labuan,” katanya pada majlis penyerahan komplek pada Isnin.

Muhammad Azman berkata projek itu menerima Sijil Perakuan Siap Kerja (CPC) dan penyediaan pensijilan akhir serta Manual Operasi dan Penyelenggaraan.

Pengarah JKR Labuan, Ir. Ibrahim Esa berkata sistem penghawa dingin di kompleks itu, yang reka bentuk dalamannya oleh JKR Labuan, dilengkapi dengan unit yang dapat menjimatkan penggunaan tenaga.

Setiausaha Bahagian Pembangunan KKMM, Kamaruddin Abdul Rani berkata penyiapan projek itu akan membantu menyediakan persekitaran kerja yang kondusif dan selesa untuk tiga agensi di bawah kementerian.

“Projek Rancangan Malaysia ke-11 sudah siap, ia menunjukkan usaha kementerian untuk memastikan kakitangannya disediakan tempat yang lebih baik dalam menunaikan tugas untuk negara dan rakyat … kami yakin, apabila kami mempunyai tempat yang lebih baik untuk bekerja, kami dapat meningkatkan produktiviti, ” katanya.

Kompleks ini turut dilengkapi dengan kafeteria mini, gimnasium dan taman permainan untuk kanak-kanak.– BERNAMA