Kompleks Litar Sukan Bermotor tidak akan jadi ‘gajah putih’, kata Exco

Kompleks Litar Sukan Bermotor tidak akan jadi ‘gajah putih’, kata Exco

Mohd Amirul Anuar Aris

Kerajaan Negeri Kedah akan pastikan projek pembinaan Kompleks Litar Sukan Bermotor  di Sungai Petani, sepertimana yang telah direncanakan pada masa pemerintahan BN dahulu tidak akan menjadi projek ‘gajah putih’ dibawah pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pelancongan, Seni dan Budaya serta Pembangunan Usahawan negeri, Mohd Asmirul Anuar Aris, projek ini perlu dinaik taraf bagi kegunaan internasional selain kegunaan domestik.

Sehubungan itu katanya, peningkatan kos daripada RM30 juta kepada RM70 juta akan menjadikan litar lumba tersebut sebagai salah satu litar bertaraf internasional.

“Peningkatan kos ini akan menjadikan litar lumba tersebut sebagai nilai tambah yang mendapatkan banyak manfaat kepada rakyat Kedah dan juga kerajaan negeri.

“Pembinaannya akan ditanggung oleh kerajaan pusat serta tidak akan membebankan kewangan kerajaan negeri.

“Kemungkinan adanya kerjasama dengan pelbagai pihak termasuk pihak swasta bagi menjimatkan kos, ” ujarnya lagi.

Beliau yang juga merupakan Ketua Pemuda AMANAH Negeri Kedah turut berkata, MBI Kedah serta Sepang International Circuit sedang mengkaji beberapa keperluan teknikal.

“Kajian terperinci perlu dilakukan bagi menaik taraf litar tersebut sehingga ke peringkat internasional.

“Selain itu penelitian juga dilaksanakan tentang kemasukan pelaburan swasta serta Inisiatif Pembiayaan Swasta atau PFI.

“Litar lumba yang akan diwujudkan di Sungei Petani ini juga dijangka mampu menjadi sebuah pusat industri permotoran bagi utara negara ini serta juga negara jiran Thailand, ” tambahnya lagi.