Kompleks Mahkamah kecoh penyokong dihalang masuk

Kompleks Mahkamah kecoh penyokong dihalang masuk

Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur kecoh apabila penyokong bekas Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak mempersoalkan tindakan pihak berkuasa yang tidak membenarkan mereka memasuki perkarangan mahkamah.

Kekecohan timbul selepas Ahli Parlimen Bera Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tiba untuk memasuki namun dihalang.

Insiden itu menyebabkan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) mengambil tempat di hadapan pintu masuk mahkamah.

Selepas rundingan dengan pegawai polis, Ismail dan tiga lagi individu dibenarkan memasuki pekarangan bagi mengikuti prosiding di dalam galeri awam.

Ismail ketika ditemui berkata, beliau hadir bagi memberi sokongan kepada bekas pemimpin Umno itu.

Tidak lama selepas itu, Ahli Parlimen Pasir Salak Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman dan Pengerusi Badan Pemantau Kerajaan Baharu, Datuk Lokman Noor Adam turut dibenarkan memasuki pekarangan mahkamah.

Prosiding pendakwaan terhadap Najib sedang berlangsung dengan pertuduhan sedang dibacakan.

Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman turut dilaporan, menggesa orang ramai agar tidak terus menghukum bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang sedang menghadapi pertuduhan di mahkamah.

Katanya, Najib masih tidak bersalah selagi beliau tidak dijatuhkan hukuman bersalah oleh mahkamah.

“Saya menyeru agar orang ramai tidak menjatuhkan hukum selagi mahkamah tidak membuat keputusan.

“Orang mudah bicara di luar mahkamah itu tidak betul.Eloklah kita berikan pihak berkuasa untuk menyiasat,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau hadir ke mahkamah bagi menyatakan solidariti buat Najib dan melahirkan rasa simpati terhadap apa yang menimpa Najib kini.

“Dalam keadaan beliau menghadapi dugaan ini. Bagi sokongan dekat beliau agar mendapat kekuatan apabila melihat kawan-kawan yang datang,” katanya.

 

 

0.0
OVERALL SCORE
Have no any user vote